HIJLM rancak kembali ekonomi

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

BANDA HILIR 15 Oktober – Penganjuran Hari Industri Jualan Langsung Malaysia (HIJLM) mampu merancakkan semula perkembangan ekonomi usahawan tempatan khususnya di Negeri Melaka.

Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri,  Ngwe Hee Sem berkata, program berkenaan adalah inisiatif terbaharu digerakkan kerajaan bertujuan mengembangkan industri jualan langsung.

Katanya, program seumpama itu adalah platform terbaik bagi syarikat jualan langsung mempromosikan perniagaan dan kelebihan produk mereka.

“Selain mengembangkan lagi industri ini ia juga memberikan pendedahan yang lebih luas mengenai aktiviti perniagaan jualan langsung yang sah di Malaysia.

“Membuka peluang dan ruang yang lebih jelas untuk diteroka, sekali gus menjana pendapatan isi rumah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Hari Industri Jualan Langsung Malaysia Peringkat Negeri Melaka 2022, di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan hadir sama Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.

Hee Sem berkata, inisiatif kerajaan ini diharap dapat dilaksanakan secara berterusan dan mendapat sokongan daripada rakyat seterusnya mencapai objektif iaitu memulihkan kembali ekonomi negeri serta negara.

“Program yang berlangsung sehingga esok disertai 36 pempaper antaranya persatuan jualan langsung, syarikat jualan langsung selain Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Antara pengisian program sesi ‘pitching’ dan padanan bersama syarikat jualan langsung, konsultansi serta ‘pocket talk’,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1995
Kongsi :
Previous post Setia hingga hujung nyawa
Next post Menteri penuh dari Melaka jika BN menang PRU15 – Ab Rauf
Ubah saiz-+=