Menteri penuh dari Melaka jika BN menang PRU15 – Ab Rauf

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

MACHAP JAYA 15 Oktober – Seorang menteri penuh dari Negeri Melaka antara kandungan mini manifesto Barisan Nasional (BN) Melaka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu menjadi keutamaan jika BN diberikan mandat untuk mentadbir negara selepas PRU-15.

Katanya, perkara itu penting bagi memastikan negeri ini mempunyai ahli parlimen berjawatan menteri untuk mewakili rakyat Melaka di peringkat persekutuan.

“Kita minta sebab sudah lama Negeri Melaka ini tidak ada seorang Menteri yang mewakili rakyat Melaka.

“Ini akan membantu pembangunan Negeri Melaka, melicinkan lagi tadbir urus Kerajaan Negeri yang boleh berhubung dengan Putrajaya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Alor Gajah di Kampung Permai, Machap Umboo, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan BN Melaka sudah bersiap siaga bagi menghadapi PRU-15 pada bila-bila masa dengan persiapan sudah pada tahap 90 peratus.

Ab Rauf berkata, pihaknya akan memastikan setiap gerak kerja jentera sayap parti, di semua peringkat akan membawa kemenangan.

“Jika mahu kata bersedia, kami sudah bersedia selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu lagi. Jentera akan diaktifkan untuk menguruskan PRU yang akan datang tidak lama lagi.

“Cuma tumpuan sekarang adalah nama calon yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat.

“Kita tidak mampu lagi kalah untuk kali kedua, kita mesti berupaya untuk memastikan Putrajaya berada dalam genggaman BN selepas PRU-15,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4261
Kongsi :
Previous post HIJLM rancak kembali ekonomi
Next post Lelaki berkempen PRU15, halang tugas polis ditahan
Ubah saiz-+=