Sorting by

×

Hilal Ramadan jelas di Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

TANJUNG BIDARA 22 Mac – Balai Cerap, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, mencatat sejarah apabila berjaya mencerap anak bulan hilal Ramadan dengan jelas dan memenuhi kriteria ditetapkan selepas lebih 10 tahun.

Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, teleskop dan peralatan di kompleks itu berjaya mencerap anak bulan Ramadan pada jam 7.45 malam.

“Hari ini, alhamdulillah memenuhi kriteria yang mana datanya hampir 18 atau 19 jam. Jadi memenuhi kriteria waktu ijtimak dan juga garis lengkung serta ketetapan yang telah ditentukan jawatankuasa rukyah peringkat kebangsaan.

“Ini satu sejarah, kita dapat merakam secara jelas melalui kamera dan teleskop, dengan peralatan yang kita ada. Cerapan dimulakan dari jam 7 hingga 8 malam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Cerapan Rasmi Hilal Ramadan 1444H/2023M Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, di sini, malam ini.

Sebelum ini proses mencerap hilal Ramadan terganggu akibat faktor cuaca dan sebab-sebab yang lain.

Terdahulu majlis dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang turut meluangkan masa mencerap anak bulan Ramadan.

Mengiringi Tun Mohd Ali adalah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Ibrahim Durum, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah, Adun Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Adun Taboh Naning, Zulkiflee Mohd Zin.

Selain Komplek Falak Al-Khawarizmi, antara lokasi terlibat untuk melihat anak bulan Ramadan adalah di Pontian Kecil, Johor, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor.

Lokasi lain untuk melihat anak bulan Ramadan adalah Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya serta Menara Pandang, Masjid al-Hussain Kuala Perlis, Perlis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7217
Kongsi :
Previous post Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei – Ahmad Zahid
Next post Jamiah impi wujudkan ‘bakery anak istimewa’
Ubah saiz-+=