Hobi ‘mahal’ beli zaman kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

LENDU 20 Mei – Tidak dinafikan sukan kereta kawalan jauh (RC) merupakan satu hobi yang ‘mahal’ kerana rata-rata peminatnya mengakui sanggup berhabis puluhan ribu untuk membeli pelbagai peralatan dan aksesori bagi menaik taraf jentera masing-masing.

Namun atas dasar minat, mereka tidak berkira untuk melabur kerana apa dilakukan adalah untuk memenuhi atau membeli semula kemahuan ketika zaman kanak-kanak yang dilunaskan ketika mula memasuki alam pekerjaan.

Mohd Nizam Tukimat, 37, berkata dia meminati hobi itu sejak zaman sekolah menengah namun, hasrat memiliki kereta RC terbantu berikutan harganya yang mahal ketika itu.

Selepas memasuki alam pekerjaan dan kini bertugas sebagai juruteknik di sebuah syarikat swasta dia merealisasikan hasrat itu dengan aktif dalam sukan kereta RC.

“Masa zaman sekolah mampu tengok sahaja, alhamdulillah bila sudah ada pekerjaan dan sekarang bergelar bapa barulah saya dapat beli kereta RC yang diidamkan sejak dari sekolah menengah.

“Saya kini memiliki sembilan buah model kereta, bukan sekadar minat atau suka-suka, saya serius dan setakat ini sudah menyertai pertandingan antarabangsa di Singapura, Thailand dan Eropah, pembiayaan pula menggunakan wang sendiri.

“Sekarang anak bongsu dari tiga beradik kini berusia tujuh tahun dilihat cenderung dan menunjukkan minat terhadap hobi ini, mungkin dia akan mewarisi semua ini daripada saya,” katanya.

Berkongsi pencapaiannya Mohd Nizam berkata, bergelar juara perlumbaan di Singapura sebelum ini adalah antara detik manis sepanjang aktif dalam sukan itu, sekali gus memberikan kepuasan kepada dirinya.

“Sukan ini cabaran dia hanya pada kos sahaja. Saya telah habiskan hampir puluhan ribu untuk membeli alat ganti dan aksesori, semuanya perlu diimport sebab itu harganya mahal.

“Apa yang menarik sukan ini membuka mata saya erti perpaduan dan silaturahim, dalam kalangan kami tanpa mengira latar belakang kaum, tidak lokek atau berkira untuk membantu antara satu sama lain, sudah macam sebuah keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

98
Kongsi :
Previous post Tabika Kemas Taman Krubong Jaya bakal dibina 2025
Next post 72 atlet cilik berentap pada Kejohanan ROG Tenis Peringkat Wilayah Zon Selatan
Ubah saiz-+=