Hospital Melaka terima sumbangan peralatan perubatan RM60,000

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKIT PALAH 9 Julai – Hospital Melaka hari ini menerima sumbangan peralatan perubatan bernilai RM60,000 daripada MERCY Malaysia.

Antara peralatan perubatan disumbangkan ialah ‘patient monitor’, ‘high flow nasal cannular’, pelitup muka N95 dan kelengkapan alat pelindung diri (PPE).

Pengarah Wilayah MERCY Malaysia, Shah Fiesal Hussain memaklumkan bantuan itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani pandemik COVID-19.

Jelasnya, sejak pandemik itu melanda Mac tahun lalu hingga sekarang, pihaknya telah menyalurkan pelbagai bantuan terutamanya peralatan perubatan kepada hospital seluruh negara dengan anggaran nilai sumbangan berjumlah RM40 juta.

“Kita percaya keperluan peralatan perubatan ini masih diperlukan untuk masa-masa akan datang.

“Jadi, kita akan cuba sedaya upaya untuk membantu mana yang boleh bukan sahaja di Hospital Melaka, bahkan juga di hospital-hospital lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada Pengarah Hospital Melaka, Dr. Zaharimah Abdul Kadir di lobi hospital, hari ini.

Mengulas lanjut, Shah Fiesal berkata, selain peralatan perubatan, MERCY Malaysia turut menggerakkan bantuan dari segi sumber manusia untuk membantu KKM dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

SHAH Fiesal (kiri) menyampaikan bantuan peralatan perubatan kepada Dr. Zaharimah bertempat di lobi Hospital Melaka, hari ini.

Sehingga kini, ujarnya, kira-kira 1,000 sukarelawan disediakan untuk membantu dalam pelbagai bidang, baik dari segi logistik sehinggalah ke bahagian perubatan seperti doktor dan jururawat.

“Sehubungan itu, pihak MERCY Malaysia sangat berbesar hati sekiranya ada pihak yang ingin menyalurkan bantuan dari segi dana untuk merealisasikan usaha-usaha kami dalam bersama-sama membantu menangani pandemik COVID-19.

“Untuk menyalurkan dana, orang ramai boleh menghubungi bahagian ‘Fund Raising Event’ MERCY Malaysia atau boleh melayari www.mercy.org.my untuk maklumat lanjut,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1200
Kongsi :
Previous post 7 individu sebar maklumat PKPD Ayer Keroh dipanggil polis
Next post Mohd Ali santuni pesakit Hospital Melaka
Ubah saiz-+=