Sorting by

×

HUJAN SEHARI MENYAMAI TEMPOH SEBULAN PUNCA BANJIR DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KESIDANG 7 Mac – Kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Melaka semalam, berpunca daripada hujan lebat berterusan yang berlaku disebabkan oleh fenomena garis badai yang terbentuk di Selat Melaka.

Pengarah Meteorologi Melaka Muhammad Hafiz Kasim berkata, berdasarkan data, jumlah hujan yang turun di Stesen Meteorologi Utama Lapangan Terbang Batu Berendam pada 6 Mac adalah 122.0 milimeter (mm).

Jelas beliau, jumlah itu hampir menyamai purata taburan hujan jangka panjang bagi tempoh sebulan iaitu 143.3 mm bagi bulan Mac.

Menurutnya, taburan hujan luar biasa itu secara keseluruhan melibatkan seluruh negeri bermula jam 4 pagi, namun hujan lebat berterusan lebih tertumpu di beberapa kawasan dalam daerah Melaka Tengah dan Jasin, di mana hujan berlarutan sehingga jam 2 petang.

“Amaran ribut petir ini telah dikeluarkan seawal jam 1 pagi dan dikemaskini sebanyak empat kali iaitu pada jam 5 pagi, 9 pagi, 12.10 tengah hari dan 1.20 tengah hari.

“Mengikut data daripada Stesen Meteorologi Utama Lapangan Terbang Batu Berendam, hujan lebat memuncak yang direkodkan di Melaka Tengah adalah pada jam 9 pagi iaitu dengan sebanyak 71.4 mm.

“Manakala di daerah Jasin, hujan lebat memuncak pada jam 7 hingga 8 pagi dengan jumlah hujan 36.4 mm seperti yang direkod di Stesen Auksiliari Lapangan Terbang Sungai Rambai,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Meteorologi Melaka, Batu Berendam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafiz berkata, jumlah hujan yang direkodkan di Melaka pada 6 Mac juga lebih tinggi daripada beberapa negeri lain yang turut mengalami hujan.

Sementara itu, beliau memaklumkan berdasarkan data ramalan cuaca tujuh hari, negeri ini dijangka boleh mengalami hujan dan ribut petir pada sebelah petang hingga awal malam.

Jelasnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai ramalan dan amaran cuaca di semua platform media sosial Jabatan Meteorologi Malaysia atau boleh memuat turun aplikasi myCuaca.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post TUJUH PENIAGA DI KLEBANG TERIMA GERAI BAHARU
Next post HANYA PPS DI JASIN MASIH DIBUKA