Hujan ‘ujian’ pertama proses penamaan calon DUN Bukit Sari, Ba’kelalan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

LAWAS (Sarawak), 6 Dis – Hujan lebat berterusan sejak malam tadi sehingga awal pagi ini di Lawas menjadi ‘ujian’ pertama bagi proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 melibatkan Dewan Udangan Negeri (DUN) Bukit Sari dan Ba’Kelalan.

Proses penamaan calon bermula jam 9 pagi. Bagi DUN Bukit Sari, proses penamaan calon akan berlangsung di Majlis Daerah Lawas, manakala bagi DUN Ba’kelalan dilaksanakan di bangunan lama Majlis Daerah Lawas, yang terletak kira-kira dua kilometer daripada Majlis Daerah Lawas.

Setakat jam 8 pagi, hujan gerimis, keadaan dingin dan kabus menyelubungi beberapa kawasan di Pekan Lawas.

Di Majlis Daerah Lawas, petugas media dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersama anggota keselamatan dan kesihatan juga mula berada di situ seawal jam 7 pagi, dua jam sebelum proses penamaan calon bermula.

Terdapat khemah khas disediakan bagi individu yang didapati bergejala selain semua langkah mencegah penularan COVID-19 dilaksanakan dengan ketat berdasarkan arahan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

DUN Bukit Sari dijangka menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya lima penjuru termasuk penyandang dari Parti Gabungan Sarawak (GPS) iaitu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Sementara itu, DUN Ba’Kelalan diramalkan berlaku pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru melibatkan penyandang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) Baru Bian.

SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon PRN Sarawak sementara undi awal dijadualkan berlangsung 14 Dis dan hari mengundi pula pada 18 Dis.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Produk pembangunan belia terus diperkasakan di setiap Parlimen
Next post Mangsa banjir di Rantau Panjang kekal 33 orang setakat 9 pagi ini
Ubah saiz-+=