Sorting by

×

i-Care4u langkah atasi kemiskinan tegar di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PAYA RUMPUT 8 November – Langkah mengatasi kemiskinan tegar termasuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dalam kalangan rakyat di negeri ini akan dilaksanakan berterusan.

Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Melaka, Jabatan Perdana Menteri (ICU), Megat Azlani Megat Ramli berkata, seramai 630 isi rumah di Melaka terdiri daripada taraf kemiskinan tegar telah dikenal pasti akan dibantu dengan pelbagai bantuan seperti pembaikan rumah, kebajikan dan sebagainya.

Katanya, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM350,350 menerusi penganjuran program i-Care4u untuk melaksanaan pelbagai bantuan kebajikan khususnya dalam membaik pulih rumah golongan terlibat.

“Program ini pada dasarnya bertujuan meringankan mereka yang berstatus miskin tegar dan miskin serta kepada mereka yang berhadapan dengan kecemasan dan bencana di dalam Negeri Melaka.

“Usaha ini adalah langkah berterusan yang diambil kerajaan menerusi ICU untuk menangani kemiskinan tegar di negeri ini bahkan ini adalah usaha kerajaan untuk mensifarkan kadar kemiskinan di Malaysia.

“Program murni seperti ini akan diteruskan dan kita sasarkan ia akan dilaksanakan pada tahun hadapan juga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyantuni di kediaman salah seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Siti Azlina Sulaiman @ Mohamed, 42 yang merupakan antara penerima inisiatif itu di Jalan Tanah Merah, Krubong di sini, semalam.

Dalam pada itu katanya, seramai tujuh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Melaka telah menerima inisiatif terbabit menerusi penganjuran program terbabit.

Katanya, sebanyak RM35,000 diperuntukkan bagi sumbangan membaik pulih tujuh kediaman anggota RELA yang berstatus miskin tegar dan miskin yang telah disahkan di dalam pangkalan data kemiskinan negara, eKasih.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

957
Kongsi :
Previous post Jalan dah terang, lain pula jadinya
Next post ‘Cikgu, kami seronok dapat baju raya baharu’
Ubah saiz-+=