‘Cikgu, kami seronok dapat baju raya baharu’

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 8 November – Bait-bait ayat ‘kami seronok dapat baju raya baharu’ daripada anak muridnya membuatkan seorang guru sebak dan matanya berkaca.

Walaupun usia anak-anak itu masih ‘setahun jagung’, namun mereka seakan sudah memahami kepayahan keluarga dan tidak pernah meminta-minta.

Namun apabila dimaklumkan bakal menerima sumbangan baju raya, riak kegembiran jelas terpancar di wajah mereka.

Menurut S Theravani, guru Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Alor Gajah, seramai lima murid sekolah berkenaan berusia di antara 7 hingga 12 tahun telah terpilih pada program sumbangan yang dianjurkan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri VP Shanmugam.

Katanya, semua yang terpilih adalah dalam kalangan murid yang berada di bawah paras kemiskinan yang mana rata-rata mereka merupakan anak yatim, selain ada dalam ketua keluarga mereka kini terlantar dan tidak mampu bekerja lagi.

“Sebelum ini saya ada tanya murid-murid ini sudah beli baju raya atau belum dan rata-rata mereka mengatakan tiada baju raya kerana ayah tidak bekerja, emak belum gaji dan bermacam-macam lagi.

“Jadi, di dalam kereta apabila dimaklumkan akan dibawa untuk membeli baju raya, mereka sangat teruja dan beritahu mereka seronok sangat.

“Saya yang mendengar pun rasa sebak dan terharu. Jadi, saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Shanmugam kerana memilih anak-anak ini sebagai penerima sumbangan baju raya,” katanya.

Sementara itu, seorang murid, R Keshwin Raj, 10, mengakui gembira apabila impiannya untuk menyarungkan baju raya berwarna jingga pada perayaan Deepavali tahun ini, tercapai.

“Saya memang sukakan warna jingga, terima kasih YB kerana sudi memberikan sumbangan baju raya untuk saya dan rakan-rakan,” katanya.

Nada sama turut disuarakan G Sujay, 12, yang menganggap baju raya itu menjadikan perayaan Deepavali tahun ini lebih bermakna.

“Saya sangat gembira kerana dapat memiliki satu-satunya baju raya untuk Deepavali tahun ini dan lebih teruja apabila saya dapat memilih sendiri baju kesukaan saya,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

828
Kongsi :
Previous post i-Care4u langkah atasi kemiskinan tegar di Melaka
Next post Pembinaan Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak bermula pertengahan tahun depan – Adly
Ubah saiz-+=