Pembinaan Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak bermula pertengahan tahun depan – Adly

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Nov – Pembinaan Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Kem Terendak, Melaka yang baharu dijangka bermula pertengahan tahun depan, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata projek hospital baharu berkapasiti 150 katil yang diluluskan pembinaan tahun lepas dengan kos dianggarkan RM325 juta itu adalah bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah beroperasi sejak 1964.

Beliau berkata hospital baharu itu akan dilengkapi dengan kepakaran diperlukan dalam menyokong keperluan operasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti kemudahan dewan bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU), kepakaran traumatologi, pembedahan am, ortopedik dan perubatan dalaman.

“Hospital ini turut menyediakan perkhidmatan klinik keluarga dan pesakit luar, pusat rehabilitasi serta kemudahan rawatan pergigian, yang pastinya memberi banyak manfaat kepada seluruh warga ATM, veteran ATM dan juga penduduk sekitar,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) yang ingin tahu status terkini kerja-kerja pembaikan dan naik taraf HAT di Kem Terendak serta bentuk kemudahan perubatan dan bidang kepakaran yang ditawarkan di hospital berkenaan.

Mengulas lanjut Adly berkata hospital baharu itu juga bakal dilengkapi kemudahan perubatan moden seperti Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Imbasan Tomografi Berkomputer (CT Scan) selain ia juga akan dihubungkan melalui sistem pengurusan hospital secara digital yang membolehkan maklumat pesakit dapat dikongsi secara bersama antara fasiliti kesihatan milik ATM dan awam secara maya.

Sementara itu beliau berkata ATM sentiasa bersedia untuk menawarkan kepakaran kepada pihak yang memerlukan, termasuk dalam aspek perubatan bagi penduduk Palestin, antaranya melalui pembinaan hospital medan.

Beliau berkata perkhidmatan hospital medan telah ditawarkan ATM kepada Turkiye ketika negara itu dilanda gempa bumi pada Februari lepas.

“Kita sentiasa bersedia dan terpulang kepada keputusan kerajaan… hospital medan itu sentiasa tersedia sama ada untuk perkhidmatan dalam atau luar negara,” katanya menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1561
Kongsi :
Previous post ‘Cikgu, kami seronok dapat baju raya baharu’
Next post Mekanik maut motosikal rempuh kereta
Ubah saiz-+=