Mekanik maut motosikal rempuh kereta
AYER KEROH 8 November – Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Lebuh Sungai Udang- Paya Rumput- Ayer Keroh (SPA) Bertam Impian, pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 9 pagi itu mengakibatkan mangsa Muhammad Hanif Hamzah, 33, yang menunggang Yamaha RXZ maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kejadian kereta Proton Waja dinaiki lima individu termasuk seorang pelajar sekolah dalam perjalanan dari arah Bertam Jaya menghala ke Bertam Impian manakala mangsa dari Sungai Udang menghala ke Krubong.
“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja dipandu lelaki berusia 51 tahun hendak masuk ke simpang kanan dan semasa sedang meneruskan perjalanan untuk membelok ke kanan, lampu isyarat tiba-tiba bertukar hijau.
“Mangsa yang tiba-tiba datang dari arah Sungai Udang kemudian terlanggar bahagian sisi kiri Proton Waja,” katanya.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal maut di lokasi kejadian manakala penumpang hadapan kereta terbabit patah tangan kiri dan luka di dahi.
“Mangsa yang maut dibawa ke jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala penumpang yang cedera dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Siasatan lanjut membabitkan kejadian masih diteruskan selain pihak polis turut meminta kerjasama saksi atau orang awam yang melihat kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat,” katanya.
Ujar Christopher, kedua-dua kenderaan yang terbabit kini ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.