MyAQua’ Best tawarkan jualan lebih rendah

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

SUNGAI RAMBAI 9 November – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM500,000 menerusi program Jualan MyAQua’ Best yang akan dilaksanakan sepanjang tahun hadapan.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, menerusi program itu, ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 isi rumah.

Katanya, sasaran hasil jualan itu disasarkan selepas pelaksanaan menerusi empat jualan yang dijalankan pihaknya sehingga Oktober lalu yang berjaya mengutip nilai jualan sebanyak RM58,720.

“Lokasi jualan ini juga membabitkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) sebagai pemasar dan menerusi penganjuran di empat lokasi ini LKIM juga berjaya mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM18,290 selain memberi manfaat kepada 874 isi rumah.

“Untuk tahun ini kita sasarkan lapan lokasi penganjuran di seluruh negara dengan turut membabitkan bukan sahaja PNK tetapi Persatuan Nelayan Negeri (PNN) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).
“Daripada empat yang sudah berjalan kita yakin untuk sepanjang tahun hadapan kita dapat merekodkan jualan sebanyak RM500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Jualan My Aqua’ Best yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis, di Projek Ternakan Udang Dalam Kolam Fasa II, Kampung Sebatu.

Photo 2023 11 08 14 23 40
Pengerusi LKIM, Muhamad Faiz Fadzil membantu menjual hasil ternakan udang kepada orang ramai sempena Program My Aqua’ Best (Jualan Terus Dari Ladang) di Projek Ternakan Udang Dalam Kolam Fasa 2, Kampung Sebatu Sungai Rambai. Turut hadir bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis. Foto Iqmal Haqim Rosman

Menurut beliau, menerusi Jualan MyAQua’ Best rakyat dapat menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus keatas pembelian hasil laut berbanding harga yang ditawarkan dipasaran semasa.

“Penganjuran ini dilihat antara program cepat dan berkesan LKIM dalam membantu para usahawan memasarkan produk secara terus kepada pengguna dan sekaligus dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat. Ini kerana menerusi jualan ini kita tawarkan harga penjimatan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

“Malah ia juga adalah platform kepada persatuan nelayan yang menjalankan pemasaran hasil akuakultur supaya dapat menjual terus hasil kepada pengguna dengan harga berpatutan dan segar selain pengguna pula dapat menikmati rasa akuatik segar dari ladang ternakan akuakultur,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, untuk penganjuran Jualan MyAQua’ Best di Sebatu, sebanyak 500 kilogram udang putih disediakan LKIM kepada pengguna dengan tawaran harga hanya RM20 sekilogram.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1066
Kongsi :
Previous post Mekanik maut motosikal rempuh kereta
Next post Melaka perkukuh posisi di peta pelancongan dunia
Ubah saiz-+=