Melaka perkukuh posisi di peta pelancongan dunia

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 8 November – Kerajaan Negeri komited mengangkat Melaka sebagai destinasi pelancongan serantau yang berdaya saing sekali gus giat memperkukuhkan posisi negeri ini pada peta pelancongan dunia.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pada hari kedua World Travel Market (WTM) di London, United Kingdom, pihaknya bersama delegasi Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa pertemuan strategik bersama wakil organisasi pelancongan global.

Jelasnya, pertemuan itu antara lain bertujuan membina jaringan dan menarik pelaburan dalam projek pelancongan di Melaka.

“Inisiatif ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang untuk Melaka dalam menarik kunjungan pelancong asing dan masa ini adalah yang terbaik bagi memperkenalkan program dan festival kebudayaan yang akan datang di Melaka yang bertujuan untuk menarik minat pelancong yang mencari pengalaman budaya yang autentik.

“Selain itu, saya turut mengadakan perbincangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman mengenai inisiatif bersama dalam meningkatkan visibiliti Malaysia dan Melaka.

“Saya juga sempat bertemu dengan rakan-rakan sejawat dari Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, dan Pahang membincangkan potensi kerjasama antara setiap negeri untuk memperkenalkan pakej pelancongan bersama yang boleh memanfaatkan keunikan setiap negeri serta menggalakkan pelancongan domestik dan serantau,” katanya dalam satu di Facebook rasminya.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berharap segala usaha dan komitmen yang dilakukan itu dapat memajukan sektor pelancongan Negeri Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2044).

“Ini merupakan satu langkah proaktif dan strategik ke arah memperluas jangkauan pelancongan Melaka di peringkat antarabangsa, sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan kedatangan pelancong dan memperkaya pengalaman pelancongan di Malaysia bukan sahaja untuk TMM2024 bahkan untuk Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1053
Kongsi :
Previous post MyAQua’ Best tawarkan jualan lebih rendah
Next post TMM2024: Panda merah tarikan terbaharu Zoo Melaka
Ubah saiz-+=