i-Sinar: Rakyat gembira skop diperluas

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 27 Nov. – Pengumuman kelonggaran pengeluaran program i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19 ternyata melegakan orang ramai.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati rata-rata rakyat bersyukur apabila skop pengeluaran i-Sinar diperluaskan kepada pendapatan yang terkesan, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji.

Zawiyah Abdul Hamid,55 berkata, dengan pengeluaran i-Sinar secara tidak langsung dapat membantu keluarganya menggunakan wang itu membeli barang keperluan.

“Syukur sangat, mana yang terjejas kita boleh bantu perbelanjaan harian untuk anak-anak serta cucu yang ada.

“Saya nasihatkan supaya wang yang dikeluarkan ini digunakan sebaik mungkin, tak perlu nak beli kereta atau apa-apa yang tidak diperlukan,” katanya.

GAFFAR

Bagi Gaffar Nordin,53, kelonggaran mengeluarkan wang dari program i-Sinar itu membuktikan kerajaan prihatin membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Jadi sebagai pengguna kita perlu manfaatkan wang itu sebaik mungkin, jika dah dapat wang KWSP gunakan di jalan yang betul.

“Semasa COVID-19 ini pun saya sukar untuk mendapatkan pekerjaan, kadang-kadang ada buat kerja sendiri untuk tampung hidup,” katanya.

Manakala, S.Thila, 33, pula berkata pengeluaran KWSP itu tidak mengira golongan miskin atau kaya kerana semuanya terkesan semasa pandemik COVID-19 melanda negara.

“Saya berhenti kerja bulan Mac lalu, tiba-tiba kerajaan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sumber pendapatan saya memang tiada waktu ini.

S. Thila

“Dengan pengeluaran wang ini memang dapat membantu saya dan keluarga, lebih-lebih lagi tiada punca pendapatan hingga terpaksa menangguhkan pembayaran komitmen yang sepatutnya.

“Nak harapkan simpanan lama-lama akan berkurangan juga, tambah pula perbelanjaan hari ini semakin meningkat,” katanya yang menetap di Banda Hilir.

Semalam Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan program i-Sinar diperluaskan dan jumlah pengeluaran maksimum sebanyak RM10,000 bagi mereka yang mempunyai RM90,000 dan ke bawah dalam Akaun 1.

Views:

239
Kongsi :
Previous post MPHTJ rangka taktik tarik pelancong ke Ayer Keroh
Next post Banjir: Hanya tinggal satu PPS di Melaka
Ubah saiz-+=