Ibadah dilaksanakan, demi kewajipan

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

“Alamak aku terlupa nak bayar zakat tahun ini, macam mana ya?”

“Boleh ke bayar zakat tahun lepas, rasa berdosa pula?”

“Betul ke dianggap berhutang dengan Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan?”

“Allah SWT terima ke ibadah zakat aku ini sebab dah tertangguh bayarannya?”

“Alah aku dah bayar Zakat Fitrah sama je aku bayar zakat yang lain?”

Pelbagai persoalan yang dilontarkan oleh segelintir masyarakat tentang bayaran zakat. Perlu diingatkan bahawa setiap ibadah pastinya dimulakan dengan niat yang betul supaya mendapat ganjaran pahala yang berganda di sisi Allah SWT.
Ibadah zakat merupakan salah satu Rukun Islam yang ketiga wajib ditunaikan sekiranya memenuhi syarat-syaratnya.
Zakat yang tertangguh dan terlupa boleh digantikan atau dibayar pada tahun semasa iaitu dinamakan Qada Zakat. Qada dalam konteks ibadah ialah sesuatu yang dilakukan selepas berlalu waktunya dan mengerjakannya semula ibadah sama ada yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan pada waktu yang lain.

Oleh yang demikian, umat Islam yang memenuhi syarat-syarat wajib zakat adalah wajib qada atau menggantikan zakatnya yang terlupa sebelum ini. Hukum tersebut berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-76 pada 21 – 23 November 2006 telah membincangkan dan memutuskan bahawa:
“Mengenai hukum QADA ZAKAT, ia wajib dilakukan bagi zakat yang telah memenuhi syarat-syarat wajib yang tidak ditunaikan pada masa yang sepatutnya”.

Disamping itu, hukum lain tentang qada zakat adalah wajib dan berdosa sekiranya sengaja diabaikan. Hal ini telah dijelaskan oleh Imam Hambali dan Imam Syafie: “Ketika penunaian zakat itu dapat dilakukan dengan segera, maka orang yang mengakhirkan penunaiannya dianggap ceroboh (kepada kewajipan berzakat), sehingga dia mesti bertanggungjawab terhadap pencerobohan yang dilakukan.” (Rujuk Al-Mughni, Jilid 2, halaman 686 dan Al-Majmu’, Jilid 5, halaman 302)

Namun begitu, sekiranya individu itu masih menangguhkannya, maka ianya berada dalam keadaan berdosa kerana zakat itu wajib bagi yang mampu dan wajib diganti dengan segera. Hal ini disebabkan bahawa sekiranya pemilik harta itu meninggal dunia, maka ianya mati dalam keadaan berhutang dengan Allah SWT.

Oleh itu, warisnya perlu segera menunaikan zakat kepada si mati sekiranya si mati tidak melaksanakan ibadah zakat semasa hidupnya. Hal ini menjamin supaya hartanya menjadi bersih dan suci daripada perkara-perkara syubhah. Dengan melunaskan ibadah zakat, individu itu dapat menyucikan harta, membersihkan jiwa dan memberi ketenangan rohani seterusnya mendapat ganjaran pahala yang melimpah-ruah daripada Allah SWT.

Semoga Allah SWT sentiasa memberikan petunjuk dan bimbingan demi menuju kejayaan sekaligus dapat mengikut perintah Allah SWT dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Justeru itu, jangan kita leka dalam menunaikan kewajipan berzakat pada setiap tahun tepat pada waktunya. Baginda Nabi SAW turut berpesan daripada Abu Hurairah r.a yang bermaksud: “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” (Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad).

Sebarang pertanyaan dan pembayaran zakat bolehlah layari www.izakat.com atau menghubungi di talian 1-300-88-0233 di Zakat Melaka atau tinggalkan mesej di talian whatsapp 011-58583885 untuk info lebih lanjut.
Zakat – “Bersih Jiwa Suci Harta”

Sekian terima kasih.

Tulus Ikhlas Dari,

(Nurul Hasliza binti Ramli)
Ketua Unit Kempen & Publisiti,
Zakat Melaka,
Majlis Agama Islam Melaka

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1483
Kongsi :
Previous post Menyingkap kisah Kubur Belanda
Next post Blok wanita dan kanak-kanak RM700 juta kurangkan ‘beban’ Hospital Melaka
Ubah saiz-+=