Ibu bapa titip pesanan supaya anak-anak jaga SOP

Masa Membaca:2 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 1 Mac – “Jangan lupa pakai mask setiap masa, cuci tangan selalu dan yang penting jaga jarak, jangan rebut-rebut.”

Itu antara pesanan Mohd Shari Abd Rahman,39, kepada anaknya Nur Muliana Insyirah sejak malam tadi yang memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam, di sini, tanpa ditemani dua abangnya.

Katanya, dua abang Nur Muliana masing-masing berusia 9 dan 11 tahun bakal memulakan persekolahan di sekolah sama pada minggu hadapan.

MOHD SHARI…sering ingatkan anak supaya jaga SOP di sekolah.

“Sejak bercerai enam tahun lalu, saya menguruskan persekolahan anak-anak di sekolah ini, namun hari ini Nur Muliana ke sekolah tanpa ditemani adik-beradik lain kerana tarikh sesi persekolahan tidak sama.

“Saya sering ingatkan anak saya terutama Nur Muliana supaya jaga SOP (prosedur operasi standard) sebab dia masih belum faham lagi, jadi kalau boleh cikgu jangan benarkan aktiviti yang libatkan sentuhan buat masa sekarang ini,” katanya ketika ditemui di hadapan sekolah berkenaan hari ini.

Sementara itu, Nordiyana Rahmat, 43 berkata dia sanggup mengambil cuti hari ini bagi menghantar anak bongsunya, Muhammad Daiyan Shah Mohd Shah Nizan, ke sekolah dan melihat sendiri pelaksanaan SOP yang diterapkan di sekolah itu.

GURU memantau penjarakkan murid sekolah ketika berbaris sebelum memasuki kelas pada hari pembukaan sekolah tahun 1 dan 2 di Sekolah Kebangsaan Batu Berendam. Foto: MR. Azli

“Memang sejak mengetahui tarikh mula sekolah saya ajar dan ingatkan dia menjalani pembelajaran dalam norma baharu, sentiasa pakai pelitup muka dan jaga jarak antara rakan-rakan.

“Rasa bimbang itu sentiasa ada namun sebagai ibu, kita mesti percaya dengan pihak sekolah, InshaAllah semua akan baik-baik sahaja,” katanya.

Sementara itu tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati pihak SK Batu Berendam membawakan dua maskot karakter animasi Disney iaitu Mickey dan Minnie Mouse di pintu masuk sekolah bagi menceriakan murid prasekolah dan Tahun Satu.

Tinjauan juga mendapati murid rata-ratanya teruja untuk ke sekolah dan melambai-lambai kepada ibu bapa masing-masing sebaik ditinggalkan di pintu pagar masuk sekolah.

Terdapat juga ibu bapa yang menunggu di pintu pagar luar sekolah bagi memastikan anak-anak mereka memasuki sekolah dalam keadaan selamat.

Mohd Faizal Zulkifli, 35, berkata pada mulanya dia agak bimbang untuk melepaskan anaknya, Muhamad Sanusi ke sekolah, namun melihat SOP diterapkan pihak sekolah agak ketat dengan hanya membenarkan ibu bapa berada di luar sekolah berbanding dua tahun lalu, dia mula yakin anaknya berada dalam persekitaran selamat.

“Kadang-kadang kita ibu bapa yang terlebih risau, anak-anak memang teruja, pagi sudah bangun sampai hendak sarapan pun tak sempat.

“Alhamdulillah sebagai ibu bapa kita kena faham dengan SOP yang ditetapkan pihak sekolah dan harap-harap anak saya akan ‘okay’ di sekolah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1160
Kongsi :
Previous post Polis tumpaskan Geng Wan Tocang
Next post Sesi persekolahan bagi murid prasekolah, Tahun 1dan 2 hari ini
Ubah saiz-+=