Ibu kandung pernah jalani rawatan psikiatri

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PENGKALAN BATU: Ibu kandung kepada kanak-kanak yang disyaki mati didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini, kelmarin pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

Fakta itu disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Begitupun beliau menegaskan suspek berusia 32 tahun itu hanya menjalani rawatan biasa dan bukan disahkan sebagai pesakit mental.

“Ya suspek pernah mendapatkan rawatan (psikiatri), tetapi sudah lama iaitu pada 2019.

“Rawatan itu diterima di Hospital Melaka dan hanya rawatan biasa yang mana wanita itu tidaklah (menghidap penyakit mental) seperti didakwa,” katanya.

Terdahulu, MHI melaporkan pasangan suami isteri direman tujuh hari selepas dipercayai mendera anak lelaki mereka berusia tujuh tahun hingga meninggal dunia dalam kejadian di Taman Krubong Jaya petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pihak polis menerima panggilan daripada bapa tiri mangsa berusia 38 tahun, memaklumkan anaknya lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter di rumah berkenaan.

Hasil siasatan polis, melalui pemeriksaan fizikal, menemui kesan lebam dan kecederaan di beberapa anggota badan kanak-kanak itu sebelum mayatnya dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Dalam pada itu, Mohd Sukri menggesa masyarakat menghentikan segala bentuk spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat mahupun mengganggu siasatan pihak berkuasa.

“Masyarakat perlu menilai sesuatu kes jenayah menurut kaca mata keadilan sebenar dan tidak sewenangnya membuat andaian yang menjejaskan sistem keadilan jenayah.

“Biarkan pihak polis menjalankan siasatan dan kita akan memastikan siasatan dibuat mengikut undang-undang serta kuasa-kuasa yang diberikan dengan telus, adil dan amanah,” katanya.

 

#dera #kanak-kanak #Zubaidiamir #ibuangkat

Views:

898
Kongsi :
Previous post Khabar from Tanjong: Bahasa Melayu Newspapers in Early Pulau Pinang
Next post Suasana pilu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka
Ubah saiz-+=