Ibu tunggal sebak ramai bantu sambut Aidilfitri

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 April – “Hari Raya Aidilfitri tahun ini paling bermakna buat saya dan anak-anak, ramai yang bantu lengkapkan persiapan,” kata ibu tunggal, Umi Nur Faizah Ali Halimi.

Menurut Umi Nur Faizah, 39, sejak kisahnya mengutip kotak demi kelangsungan hidup, tidak henti-henti sumbangan dihulurkan tanpa mengira kaum sama ada Cina atau India tampil memberi bantuan.

“Ada beri bantuan makanan, ada ‘uncle’ Cina datang ke rumah hantar sayur dan makanan basah untuk dijadikan lauk berbuka puasa, ada juga yang tawar kerja.

“Anak-anak juga dapat baju Raya, dua pasang seorang, tidak pernah saya dan anak-anak rasa gembira nak sambut raya macam tahun ini,” katanya.

Umi Nur Faizah dan empat anaknya diraikan pada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang menaja sumbangan keperluan hari raya kepada keluarga itu di pasaraya membeli belah Aeon di sini.

Keperitan hidup Umi Nur Faizah bermula setelah kematian suami, Muhamad Yusni Yusuf tahun lalu dan sejak itu terpaksa seorang diri menyara empat anaknya, Umi Emelda, 15, Umi Umayrah, 13, Umie Nur Arina Aufa, 9, dan Umie Nur Nimrah, 7 tahun.

Dua anaknya Umi Emelda dan Umayrah kini mengikuti pengajian di madrasah dekat Sungai Petai, Alor Gajah manakala dua lagi bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam.

Umi Nur Faizah mencuba pakaian pada salah seorang anaknya sambil diperhatikan Tuan Kamarul sempena program YADIM meyantuni golongan kurang bernasib baik menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri di pusat membeli belah Aeon Bandaraya Melaka.

Menurut Umi Nur Faizah, sebelum ini dia sekeluarga menyambut perayaan Aidilfitri secara ala kadar namun tetap bersyukur walaupun persiapan dibuat dalam serba serbi kekurangan.

“Alhamdulilah, tahun ini, sambutan Hari Raya amat berbeza buat kami sekeluarga, rasa seronoknya tidak dapat saya gambarkan, apatah lagi anak-anak.

“Paling teruja anak Umie Nur Arin dan Umie Nur Nimrah, berkali-kali belek kasut kegemaran mereka, mungkin tidak menyangka akhirnya dapat juga memiliki kasut Raya idaman,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

979
Kongsi :
Previous post Dari Pirate Park ke Taman Sigua
Next post KBS tidak kompromi mana-mana jurulatih, atlet terlibat jenayah atau dadah
Ubah saiz-+=