Ibu tunggal terharu anak diiktiraf murid terbaik UPKK

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 15 Mei – “Saya sangat terharu dan bangga atas kejayaan anak. Kali ini saya bersyukur sebab semasa kecil dahulu saya tidak dapat banggakan ibu dan ayah seperti yang anak saya lakukan,” luah Faridah Mohamad Yusop, 38.

Faridah bertugas sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru menyifatkan Anugerah Pelajar Terbaik Negeri Melaka Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) Tahun 2023 dirangkul anaknya Adam Nurfirdaus Muhamad Shahrulnizam, 12, sebagai kejayaan terbesar diraih keluarganya setakat ini.

“Saya tidak pernah menerima pengiktirafan masa belajar dulu, semoga anugerah diterima Adam ini turut membanggakan datuk dan neneknya.

“Semasa saya bertugas saya menerima khabar gembira ini dan sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan dua orang anak, perasaan gembira itu tidak dapat digambarkan.

“Semoga anugerah ini menjadi permulaan bagi hidup Adam yang diharap menjadi tulang belakang keluarga kami. Saya juga harap Adam dapat menjaga adiknya yang merupakan seorang autisme bila saya sudah tiada nanti,” katanya.

Terdahulu, Adam menerima pengiktirafan itu yang disampaikan pada Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), Syahadah Ibtidaiah Arabiah (SIA) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Peringkat Negeri Melaka Tahun 2023, berlangsung di sebuah hotel, semalam.

Selain sijil Adam turut menerima wang tunai RM500 dan plak yang disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulazlee Mohamad; Timbalan Mufti Kerajaan Negeri, Hazarudin Badarudin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIM, Abd Khawi Che Abd Rahman serta tetamu lain.

Sementara itu, Adam yang merupakan murid Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Paya Rumput, Masjid Tanah berkata kejayaan itu adalah hadiah untuk ibu dan keluarganya.

“Semua ini adalah tanda menghargai penat lelah ibu membesarkan saya dan adik. Ibu bersungguh-sungguh mahu melihat saya berjaya hingga sanggup menghantar saya ke kelas tuisyen di Shah Alam, Selangor.

“Kejayaan ini bukan untuk saya tapi untuk mereka semua termasuk guru-guru dan rakan di sekolah. Dalam mengecapi kejayaan kita tidak boleh lupakan Allah, perlu jaga solat dan menghormati ibu bapa, guru dan rakan-rakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

653
Kongsi :
Previous post Monsun Barat Daya dijangka bermula 17 Mei – MetMalaysia
Next post MPHTJ pastikan Bila Larut Malam Zoo Melaka meriah
Ubah saiz-+=