Ifedayo bukan ‘loan’ JDT

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) menafikan laporan sebuah akhbar tempatan mengaitkan pemain import Ifedayo Olusegun sebagai pemain pinjaman dari Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC Datuk Wira Justin Lim menegaskan kenyataan tersebut sebagai tidak tepat dan diputarbelitkan daripada kenyataan Pemangku Ketua Jurulatih Mohd Asri Ninggal.

Sebaliknya, beliau menjelaskan penyerang import asal Nigeria itu merupakan pemain yang berkontrak penuh bersama skuad Hang Tuah.

“Berhubung laporan mengenai penyerang Melaka United FC, Ifedayo Olusegun bertajuk ‘Mat Yo’ ganti Ifedayo dalam laporan akhbar Harian Metro pada Jumaat, 1 Julai (semalam) yang mendakwa Ifedayo adalah pemain pinjaman dari kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) yang telah tular di media-media sosial.

“Melaka United FC dengan ini ingin menegaskan laporan berkenaan adalah tidak tepat dan telah diputarbelitkan daripada kenyataan sebenar oleh Pemangku Ketua Jurulatih, Mohd Asri Ninggal.

“Kami ingin menegaskan bahawa Ifedayo adalah pemain yang berkontrak penuh bersama Melaka United FC sejak awal musim ini dan bukan berstatus pinjaman dari JDT seperti dua lagi pemain iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mewakili kelab turut meluahkan rasa kesal terhadap laporan tidak benar itu yang memberi impak negatif kepada imej kelab menjelang pertemuan kedua-dua pasukan malam ini.

“Secara peribadi, saya juga kesal dengan beberapa laporan negatif, tidak benar serta tiada bukti kukuh yang sering dilemparkan kepada kelab bolasepak Melaka United.

“Laporan-laporan seperti ini pastinya memberi persepsi buruk kepada Melaka United FC secara keseluruhannya,” katanya lagi.

Sehubungan itu, pihaknya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada wartawan yang melaporkan berita tidak benar itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1265
Kongsi :
Previous post Masjid, surau institusi pendidikan penting di Malaysia
Next post Kampung Padang Sebang jadi ‘Kampung Angkat Pergigian’
Ubah saiz-+=