IMG-20220702-WA0014

Kampung Padang Sebang jadi ‘Kampung Angkat Pergigian’

GADEK 2 Julai – Kampung Padang Sebang, di sini dipilih menjadi Kampung Angkat Pergigian buat pertama kali dalam usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyampaikan perkhidmatan kesihatan pergigian kepada masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, VP Shanmugam berkata, program Kampung Angkat Pergigian itu merupakan program yang tertangguh sejak dua tahun lalu.

Katanya, program seumpama itu merupakan satu inisiatif yang positif dalam memberi kesedaran penjagaan kesihatan gigi kepada masyarakat.

“Difahamkan program ini akan berlangsung bermula hari ini sehingga tempoh dua hingga lima tahun di kampung ini.

“Menerusi program ini juga difahamkan pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya aktiviti promosi kesihatan pergigian merangkumi pameran, permainan interaktif, pemeriksaan gigi dan saringan kanser mulut.

“Pihak KKM turut akan mengadakan lawatan rumah ke rumah penduduk meliputi kaunseling penjagaam kesihatan pergigian dan berhenti merokok, latihan memberus gigi, demonstrasi penjagaan mulut kendiri serta sapuan varnis fluorida,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Kampung Angkat Pergigian di Balai Raya Kampung Padang Sebang di sini hari ini.

SHANMUGAM (tengah) bergambar bersama kakitangan KKM dan antara penduduk yang hadir ke Program Kampung Angkat Pergigian di Balai Raya Kampung Padang Sebang.

Hadir sama, Pengerusi Panel Penasihat Kesihatan Daerah Alor Gajah dan Pengerusi Panel Kesihatan Padang Sebang, Mohd Hafiz Noordin.

Mengulas lanjut, Shanmugam yang juga EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri berkata program seumpama itu wajar dilaksanakan di setiap kampung di setiap DUN.

Tambahnya, lebih 3,000 penduduk akan mendapat manfaat daripada program tersebut meliputi semua golongan termasuk kanak-kanak dan warga emas.

“Kebaikan program ini memudahkan penduduk setempat dapatkan perkhidmatan pergigian, menjimatkan kos dan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan gigi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

52
FB_IMG_1656737691515 Previous post Ifedayo bukan ‘loan’ JDT
IMG_20220702_114408 Next post Kenyang telan itik dalam reban