IKMA sasar perolehan koperasi meningkat RM60 bilion menjelang 2030

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 28 Februari – Institut Koperasi Malaysia (IKMA) yakin jumlah perolehan koperasi utama di negara ini akan meningkat kepada RM60 bilion menjelang 2030.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Ali Mansor berkata, mengikut laporan semasa pendapatan koperasi utama negara adalah sekitar RM40 bilion.

Katanya sasaran itu diyakini mampu dicapai apabila 1,000 daripada 15,315 jumlah keseluruhan koperasi seluruh negara diperkasa menjadi koperasi berskala besar.

“Kita akui ada sidikit cabaran kerana jika dilihat kepada Dasar Keusahawanan Nasional 2030, menetapkan sasaran RM50 bilion pada 2025, namun sekarang ini walaupun sudah masuk 2023 kita belum melepasi perolehan RM40 bilion.

“Dasar ini dibuat pada 2018 yang mana ketika itu tidak ada menjangka berlaku penularan COVID-19 dan sekarang ini Rusia dan Ukraine. Jadi memang sesuatu yang sukar.

“Namun pada 2030 kita sasarkan RM60 bilion, tetapi ini boleh dicapai kalau kita perkasakan 1,000 koperasi, tidak terus bergantung kepada dua peratus koperasi besar yang sedia ada pada tempoh ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Turun Padang Ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) 2023 Institut Koperasi Malaysia dan Program Bual Bicara Kejayaan Koperasi ‘Kocheme Dari Lendu Ke London’, di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya akan berdepan masalah sekiranya bilangan operasi berskala kecil dan mikro terus dibiarkan tanpa ada perubahan kerana hanya yang berskala bersar serta sederhana sahaja menyumbang kepada cukai.

“Jika kita biarkan perbezaan ini terus melebar atau koperasi terus bertambah, perbelanjaan bantuan, geran dan pinjaman pasti meningkat. Sedangkan cukai kepada koperasi hanya tertumpu kepada dua peratus berskala besar dan sederhana sahaja.

“Dua peratus itu membabitkan 268 koperasi berskala besar dan 479 koperasi berskala sederhana yang menyumbang kepada cukai. Perolehan pendapatan mereka RM5 juta setahun, manakala 98 peratus koperasi lagi tidak dapat berbuat demikian kerana berpendapatan kurang RM250,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3909
Kongsi :
Previous post Kekalkan Bazar Aidilfitri Mega Klebang di tapak asal
Next post Amaran hujan sangat lebat tahap bahaya di empat negeri sehingga esok
Ubah saiz-+=