Ikrar bebas rasuah sebelum jadi penguatkuasa JPJ
AYER MOLEK 7 September – Usaha meningkatkan integriti dan menjauhkan gejala rasuah terus diperkasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Ibrahim Mohd. Yusof berkata, langkah itu diperkenal sejak peringkat awal iaitu sewaktu latihan pelatih sebelum bergelar penguatkuasa.
Jelasnya, seramai 128 pelatih Akademi JPJ di Tiang Dua, di sini, telah melafazkan tiga ikrar pada Majlis Tandatangan Sijil dan Lafaz Ikrar merangkumi Ikrar Bebas Rasuah (IBR), Aku Janji dan Akta Rahsia Rasmi.
“IBR yang dilaksanakan ini merupakan yang kali pertama dianjurkan pada peringkat kursus asas dan berharap ia mampu membentuk keteguhan jati diri setiap anggota baharu.
“Sikap membenci gejala rasuah dan menolaknya perlu diterapkan dalam kalangan warga ini sebelum ditugaskan dari awal lagi
“Malah, pada tahun ini, Pelatih Kursus Asas JPJ akan dibawa melawat ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk melihat prosedur serta suasana sekiranya seseorang itu dicekup terlibat dengan rasuah termasuklah lokap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tandatangan Sijil dan Lafaz Ikrar diadakan di Akademi JPJ, Tiang Dua, Ayer Molek, di sini, pada Rabu.
Lafaz ikrar itu turut disaksikan oleh Pengarah Akademi JPJ, Mohamad Kifli Ma Hasan dan Pengarah Khidmat Pengurusan JPJ, Mohd. Tarmizi Abd. Talib.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, kesemua pelatih JPJ perlu disuntik dengan amalan sihat memandangkan mereka bakal menjadi anggota yang bertanggungjawab dalam bidang penguatkuasaan seluruh negara.
Katanya, mereka yang terpilih sebagai pelatih mesti melepasi tiga syarat kelayakan iaitu memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Diploma serta Ijazah Sarjana Muda selain Peningkatan Secara Lantikan (PSL) bagi mereka yang telah berkhidmat lebih lima tahun serta lulus ujian yang telah ditetapkan.
“Dalam tempoh tiga bulan, mereka menjalani kursus asas di akademi ini antara latihan diterapkan adalah Pemahaman serta Penguatkuasaan Akta 333, 334, 715 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan, kursus-kursus amali dari Teknikal Kenderaan sehinggalah Pengurusan Digitalisasi JPJ,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.