‘Cancer Survivor’ sebar mesej menerusi lagu Saya Anak Malaysia

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

BUKIT KATIL 6 September – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) merakam semula klip video lagu patriotik popular ‘Saya Anak Malaysia’ dendangan penyanyi dR Sam Rasputin.

Lagu berkenaan dinyanyikan semula oleh pemandiri kanser (canser survivor) bersama sukarelawan NCSM.

Pengarah Urusan NCSM, Prof. Dr. M. Murallitharan berkata, lagu itu dipilih memandangkan bait dan lirik lagu itu dianggap cukup istimewa di negara ini.

Katanya, mesej yang ingin disampaikan menerusi klip video baharu itu adalah untuk memupuk kesedaran masyarakat terhadap penyakit yang membawa maut itu.

“Video klip lagu Saya Anak Malaysia versi yang dinyanyikan oleh pemandiri kanser ini mengekalkan durasi tiga minit dengan gubahan lagu yang sedikit berbeza.

“Lagu ini bertepatan dengan mesej yang mahu diangkat iaitu wabak barah ini boleh dihidapi oleh sesiapapun tanpa mengira bangsa, agama dan kaum.

“Menerusi klip video lagu ini juga kita (NCSM) mahu jelaskan bahawa ramai dalam kalangan pemandiri kanser ini juga yang menjadi sukarelawan memberi sokongan kepada penghidap barah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Lagu ‘Saya Anak Malaysia’ bersama Pemandiri Kanser yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin di sebuah resort, di sini, hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri penyanyi asal lagu Saya Anak Malaysia, dR Sam Rasputin atau nama asalnya Salim Ibrahim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3212
Kongsi :
Previous post Melaka anjur jelajah keusahawanan di setiap Parlimen
Next post Ikrar bebas rasuah sebelum jadi penguatkuasa JPJ
Ubah saiz-+=