Melaka anjur jelajah keusahawanan di setiap Parlimen

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BUKIT KATIL 6 September – Kerajaan Negeri akan mengadakan Jelajah Keusahawanan Negeri Melaka bermula pada pertengahan September ini, kata Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.

Menurut beliau, jelajah tersebut akan diadakan di setiap kawasan Parlimen dalam Negeri Melaka dan dijangka bermula dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.

Katanya, lebih 10 agensi akan terlibat sepanjang jelajah berkenaan yang diadakan bertujuan menarik minat masyarakat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Konsep Jelajah Keusahawanan Negeri Melaka ini adalah kita yang pergi kepada masyarakat, mendekati mereka khususnya golongan yang mahu menjadi usahawan.

“Menerusi jelajah ini juga kita akan bawa wakil-wakil perbankan untuk memberi pencerahan kepada masyarakat yang hadir pada siri jelajah terbabit.

“Kita rancang untuk adakan jelajah ini dua kali setiap bulan yang mana ia akan bermula pada pertengahan September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Lagu ‘Saya Anak Malaysia’ bersama Pemandiri Kanser di sebuah resort, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Prof. Dr. M. Murallitharan dan bekas penyanyi popular irama ‘reggae’ Salim Ibrahim atau dikenali dR Sam Rasputin.

Mengulas lanjut, Allex berkata orang ramai digalakkan untuk hadir ke jelajah tersebut bagi mendapat penerangan dan maklumat mengenai bidang keusahawanan di Negeri Melaka.

“Kita galakkan pengunjung untuk hadir ke jelajah ini, khususnya buat usahawan yang mahu mencari peluang mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Maklumat tepat seperti tarikh, lokasi dan masa berkaitan jelajah ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1146
Kongsi :
Previous post FAMA sedia bantu pasarkan beras tempatan
Next post ‘Cancer Survivor’ sebar mesej menerusi lagu Saya Anak Malaysia
Ubah saiz-+=