‘Saya Anak Malaysia’ lagu ikonik sepanjang zaman
BUKIT KATIL 7 September – Penyanyi lagu Saya Anak Malaysia, dR Sam Rasputin atau nama asalnya Salim Ibrahim, 70, gembira apabila lagu nyanyiannya masih diberi penghormatan sehingga hari ini.
Ia selepas lagu patriotik itu diangkat untuk diberi nafas baharu oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM).
Berkongsi kisahnya, dR Sam berkata, atas faktor melodi, rentak dan lirik lagu itu yang memberi semangat kepada rakyat seluruh negara menyebabkan ia terus digemari selama 37 tahun.
Katanya, lagu tersebut dicipta pada tahun 1986 dan mempunyai dua versi yang dinyanyikan di mana versi pertama mengenai liku hidup dirinya dan versi kedua lebih patriotik.
“Alhamdulillah, single ciptaan komposer M Nasir dan lirik yang dihasilkan S Amin Shahab ini sering diangkat menjadi lagu patriotik, mengisi corong radio setiap kali menjelang bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.
“Syukur, pihak NCSM turut memberi pengiktirafan kepada lagu ini dalam menyampaikan mesej positif kepada penghidap barah di seluruh negara.
“Ini pertama kali saya dijemput, saya rasa bersyukur dan ini adalah satu penghormatan buat saya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Lagu ‘Saya Anak Malaysia’ bersama Pemandiri Kanser yang dirasmikan oleh Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin di sebuah resort, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Urusan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Prof. Dr. M. Murallitharan.
Mengulas lanjut, dR Sam berkata lagu ‘berhantu’ Saya Anak Malaysia adalah manifestasi atau luahan rasa cinta kepada negara.
“Memori penghasilan lagu ini masih saya ingat sampai sekarang, tanggungjawab menghasilkan lirik, saya serahkan kepada sahabat saya, S Amin.
“Namun, selepas beberapa minggu saya berikan tugas itu, Amin hanya beri kertas kosong sahaja ketika kami hendak mulakan proses rakaman.
“Ketika itu, Amin tanya saya, lahir tahun berapa? Saya jawab 1953 dan dia suruh saya sambung lirik selebihnya di mana saya menulis kisah perjalanan saya yang berhijrah ke luar negara sebagai lirik lagu Saya Anak Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.