Impian MUFC ganding dua penyerang import lebur

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PAYA RUMPUT 7 April. – Pengendali Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC), Zainal Abidin Hassan membayangkan sesuatu yang positif mampu dijelmakan andai dua bintang importnya dapat diturunkan di separuh masa kedua aksi Liga Super menentang Penang FC malam semalam.

Zainal berkata, dia merancang menggandingkan Alex dos Santos Goncalves dan Stefan Nikolic di separuh masa kedua, namun, Goncalvez tiba-tiba sahaja mendapat kecederaan serius di lewat babak pertama, sekali gus terpaksa menukar strategi perlawanan.

Menurutnya, Nikolic yang baru pertama kali diturunkan selepas pulih daripada kecederaan sememangnya menjadi sandaran untuk memberi impak kepada jentera serangan bersama Goncalvez, namun, beliau terpaksa melupakan hasrat itu memandangkan Goncalvez mungkin memerlukan tiga minggu hingga sebulan untuk pulih.

“Perancangan kita untuk gandingkan Nicolic bersama Alex (Dos Santos Gonzalez) tetapi malangnya Alex mendapat kecederaan yang agak berat, jadi saya terpaksa memasukkan Nikolic lebih cepat dan nampaknya menunjukkan sesuatu malam ini (semalam).

“Malangnya, kita kehilangan Alex. Jadi idam (hasrat) saya untuk dua ‘top striker’ import masih lagi tergendala untuk perlawanan akan datang,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di sini semalam.

Zainal bagaimanapun memuji aksi Stefan Nikolic yang dimasukkan babak separuh masa kedua apabila berjaya menjaringkan gol pertamanya musim ini.

Dalam perlawanan itu, bekas pemain import Melaka United, Casagrande menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila menjaringkan dua gol di setiap babak untuk Penang FC sekali gus menghadiahkan kekalahan kedua berturut-turut MUFC.

Zainal tidak dapat menyembunyikan kekecewaan daripada kekalahan itu yang disifatkan tidak seharusnya berlaku apabila anak buahnya gagal memanfaatkan sebaiknya beberapa peluang diperoleh.

“Contohnya pada separuh pertama kita mendominasi permainan dengan begitu baik, mencipta dua tiga peluang sebelum pasukan lawan menjaringkan gol dan mendera kita sekali lagi di awal separuh masa kedua.

“Saya selalu ingatkan pemain bahawa peluang itu amat penting dan kita terlampau banyak melepaskan peluang, selepas tertekan baru kita kembali bermain seperti yang kita hendakkan, ini tidak boleh berlaku sebenarnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post KenTeam pemilik baharu MUFC
Next post KenTeam beri nafas baharu kepada MUFC – Sulaiman
Ubah saiz-+=