KenTeam beri nafas baharu kepada MUFC – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR 7 April – Pelaburan dibuat syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam Sdn Bhd (KenTeam) yang kini menjadi pemilik baharu Kelab Bolasepak Melaka United (MUFC) diharap dapat memperkasakan lagi kelab itu menjadi antara pasukan bola sepak yang lebih berdaya saing pada masa hadapan.

Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi MUFC Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kehadiran syarikat itu juga bakal memberi nafas baharu kepada bola sepak Melaka dalam misi membawa MUFC ke satu tahap yang boleh dibanggakan oleh penyokongnya.

Menurut beliau, isu kewangan yang sentiasa dikaitkan dengan MUFC sekitar musim 2018 hingga 2020 sehingga Melaka United dikenakan tindakan pemotongan mata liga oleh pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berikutan kegagalan melunaskan tunggakan gaji
dalam tempoh yang ditetapkan harus menjadi pengajaran.

“Sehubungan itu, pihak pengurusan sentiasa berusaha bagi memastikan isu ini tidak berulang termasuk membuat perancangan kewangan.

“Antara langkah yang diambil termasuklah menyediakan bajet yang lebih minima bagi menguruskan pasukan sejak beberapa musim lalu
termasuk tahun ini, bagi memastikan Melaka United dapat terus memberikan cabaran dalam saingan liga bola sepak teratas negara,” katanya.

SULAIMAN (tengah) menyaksikan penyerahan memorandum antara Justin (dua kiri) yang kini menjadi pemilik baharu MUFC dan Saiful (tiga kiri) pada majlis MoU di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoU Antara MUFC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Saiful Mat Sapridan dan CEO KenTeam Datuk Justin Lim di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr Hasim Hasan dan Timbalan Presiden Presiden MUSA Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi.

Mengulas lanjut Sulaiman yang juga Presiden MUSA berkata, turut dilaksanakan dalam mengurangkan kewangan kelab adalah penawaran gaji yang lebih rendah kepada para pemain dan pegawai pasukan berbanding musim lalu.

“Langkah ini terpaksa diambil berikutan situasi ekonomi yang tidak menentu kesan daripada pandemik COVID-19 yang menjejaskan ekonomi global.

“Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi MUFC sangat berbesar hati apabila sebuah syarikat pengeluar sarung tangan, KenTeam tampil untuk bersama-sama MUFC Sdn Bhd bagi memperkasakan lagi MUFC,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post Impian MUFC ganding dua penyerang import lebur
Next post Agih ayam, kangkung percuma untuk komuniti Tanjung Bidara
Ubah saiz-+=