Sorting by

×

Impian suami isteri tunai haji jadi kenyataan

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

TABOH NANING 29 Mei – Impian suami isteri untuk menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan tahun ini selepas dua tahun mereka asyik termimpi-mimpi saat menunaikan ibadah haji.

Berkat kesungguhan berdoa agar terpilih menjadi tetamu Allah, akhirnya Mohd Noor Firdaus Radzuan, 36, dan Nur Shahidah Othman, 36, dipilih sebagai antara 14,306 bakal jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1443 Hijrah tahun ini.

Mereka adalah antara bakal jemaah haji yang disenaraikan Tabung Haji (TH) untuk menunaikan ibadah berkenaan pada tahun 2020 tetapi tidak menjadi kenyataan berikutan pandemik COVID-19.

Mohd Noor berkata, dia dan isteri tidak mampu menyembunyikan kekecewaan selepas tidak dibenarkan menunaikan ibadah haji pada tahun 2020 tetapi tetap reda dengan ketentuan Allah.

“Kami amat sedih kerana tidak dapat menunaikan haji pada tahun itu dan kami sekali lagi kecewa apabila tidak dibenarkan berangkat ke Tanah Haram pada tahun lalu berikutan pandemik.

“Alhamdulillah, pada tahun ini Allah memurahkan rezeki kami dan kami amat bersyukur dengan peluang untuk menjadi tetamu-Nya,” katanya ketika ditemui pada majlis kenduri kesyukuran di kediamannya di Simpang Ampat, di sini.

Dia berkata, sepanjang dua tahun lalu, setiap kali musim haji, dia asyik termimpi-mimpi menunaikan ibadah berkenaan bersama-sama isteri, terutama ketika melakukan ibadah di Masyair dari 8 hingga 13 Zulhijjah.

Katanya, dia dan isteri pernah menunaikan ibadah umrah pada 2015 dan sudah memahami ibadah seperti tawaf dan saie serta bercukur rambut dan ia diyakini mampu membantu ketika menunaikan haji kali ini.

“Saya asyik termimpi-mimpi bagaimana keadaannya ketika wukuf di Padang Arafah, mengutip batu di Muzdalifah dan melontar di ketiga-tiga Jamrah di Mina.

“Pastinya ibadah di Masyair dari 8 hingga 13 Zulhijjah itu amat mencabar dan kami berdoa agar Allah memudahkan kami melakukannya,” katanya.

Mohd Noor Firdaus (kanan) dan hadirin membaca surah Yassin pada majlis kenduri kesyukuran di kediamannya di Kampung Simpang Ampat, Alor Gajah.

Ahli perniagaan itu dan isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa memiliki empat cahaya mata berusia antara tiga hingga enam tahun dan sepanjang mereka berada di Tanah Haram, anak mereka dipelihara ibu Nur Shahidah di Kuala Lumpur.

Nur Shahidah berkata, dia berdoa agar dia dan suami diberikan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan ibadah haji dan dijauhkan daripada bencana atau malapetaka.

Katanya, meskipun pernah menunaikan ibadah umrah, ia tidak sama dengan pelbagai tugas untuk menyempurnakan perkara Rukun dan Wajib Haji yang amat mencabar mental dan fizikal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1255
Kongsi :
Previous post PM ucap Selamat Hari Wartawan Nasional kepada semua yang wartawan, pengamal media
Next post Kaji semula jurusan kewartawanan dan komunikasi di IPT
Ubah saiz-+=