Individu rentas negeri perlu lulus saringan COVID – KM

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 1 Jun – Melaka mencadangkan semua individu yang dibenarkan untuk rentas negeri diwajibkan lulus ujian saringan COVID-19 (swab test) sebelum masuk ke negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, cadangan itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri dan dihadiri menteri besar dan ketua menteri yang diadakan secara sidang video pada 31 Mei (semalam).

Menurutnya, cadangan itu telah dipersetujui beberapa pihak untuk dilaksanakan di seluruh negara, namun tertakluk kepada keputusan teknikal yang akan diputuskan nanti.

“Tindakan itu sebagai langkah pencegahan awal bagi memastikan hanya individu yang benar-benar bebas daripada sebarang gejala atau disahkan bebas daripada dijangkiti wabak berkenaan dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

“Tindakan itu juga bagi mengelakkan kes-kes positif wabak berkenaan terus meningkat berpunca daripada perbuatan individu merentas negeri biarpun telah memperoleh kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.

Jelas Sulaiman, kos untuk ujian saringan tersebut perlu ditanggung oleh majikan sekiranya ia melibatkan pekerja dan ditanggung sendiri jika melibatkan urusan peribadi.

“Ia kerana pada masa ini kira-kira 70 peratus daripada mereka yang disahkan positif didapati tidak mempunyai gejala dan keadaan sedemikian amat membimbangkan.

“Sehingga kini Melaka mencatatkan kluster tertinggi rentas negeri iaitu lapan kluster sedia ada dan empat kluster tambahan,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri turut menyambut baik pengumuman Perdana Menteri pada 31 Mei 2021 (Isnin) berkaitan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa +) berjumlah RM40 bilion.

Sebagai sebuah negeri yang berasaskan pelancongan, Kerajaan Negeri Melaka mengucapkan terima kasih terhadap pemberian bantuan khas one-off berjumlah Ringgit Malaysia 500 kepada golongan yang terjejas termasuk pemandu pelancong.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

433
Kongsi :
Previous post Lebih 800,000 penjawat awam sumbang kepada Tabung Amanah Bencana
Next post Bukan 10 peratus, sepatutnya percuma atau 50 peratus – Industri perhotelan
Ubah saiz-+=