Lebih 800,000 penjawat awam sumbang kepada Tabung Amanah Bencana

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

PUTRAJAYA, 1 Jun – Lebih 800,000 penjawat awam bersolidariti  dalam mendepani pandemik COVID-19 dengan menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana bagi tempoh tiga bulan melalui pengurangan elaun berdasarkan gred perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mengumumkan perkara berkenaan hari ini berkata sumbangan daripada penjawat awam terbabit yang tidak melibatkan petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 itu, dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

“Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana,” katanya.

Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20 peratus, JUSA C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus melibatkan ITK, manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.

Beliau berkata surat edaran dan perincian pelaksanaan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19 di negara kita.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan bernilai RM40 bilion sebagai tambahan kepada program-program terdahulu.

Muhyiddin turut mengumumkan setiap menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun yang mana gaji tidak diambil itu disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan COVID-19.

“Marilah kita meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini,” kata Mohd Zuki.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post Seri Negeri ditutup dua hari
Next post Individu rentas negeri perlu lulus saringan COVID – KM
Ubah saiz-+=