Ingkar PKPD: Tiga lelaki sanggup terjun dari tingkat 3, elak ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

IPOH 4 Jun – Tiga lelaki cedera termasuk patah pinggang dan tulang rusuk selepas terjun dari tingkat tiga sebuah rumah kedai di Kampung Simee di sini, bagi mengelak ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A.Asmadi Abdul Aziz berkata, mereka antara 11 lelaki berumur lingkungan 41 hingga 66 tahun yang ditahan pihaknya selepas ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan keluar rumah untuk bermain judi ‘gin rummy’ di premis tiga tingkat itu.

“Terkejut dengan kehadiran polis dalam serbuan pada kira-kira 4.15 petang itu, ketiga-tiga mereka terjun dari premis tersebut yang menyebabkan seorang daripadanya patah pergelangan tangan, bahu dan pinggang, seorang patah kedua-dua kaki manakala seorang lagi patah tulang rusuk dan tangan kiri,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A.Asmadi Abdul Aziz

A.Asmadi berkata kesemua mereka kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan.

Beliau berkata kesemua 11 lelaki yang menetap di Ipoh itu dibebaskan dengan jaminan polis sehingga laporan pakar judi diperoleh, manakala pemeriksaan mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan tipu dan judi.

A.Asmadi berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kesemua mereka turut dikompaun RM10,000 setiap seorang dan seorang daripada tangkapan iaitu individu yang menyewa rumah kedai itu sejak empat bulan lalu, turut dikompaun RM25,000 kerana tidak mematuhi arahan PKPD,” katanya.

PKPD di enam mukim di Perak iaitu Pengkalan Hulu, Taiping, Hulu Kinta (Lahat, Chemor, Ipoh dan Tanjung Rambutan), Hulu Bernam Timur, Bagan Serai dan Parit Buntar tamat hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post Perlindungan keselamatan sosial diperluas kepada pekerja domestik berkuat kuasa 1 Jun
Next post PBKD luluskan kebenaran bersyarat Ravida® Tablet 200mg
Ubah saiz-+=