Inisiatif ‘walk in’ warganegara dan bukan warganegara 18 tahun ke atas di PPV Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 10 Sept – Suntikan vaksin COVID-19 secara terus dibuka kepada semua individu warganegara dan bukan warganegara 18 tahun ke atas di negeri ini, mulai esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, warganegara yang belum menerima tarikh janji temu dibenarkan hadir ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam dan PPV Mega Stadium Hang Jebat dan Stadium Jasin bagi menerima suntikan vaksin secara ‘walk-in’.

Bagaimanapun katanya, bukan warganegara pula hanya dibenarkan mendapatkan perkhidmatan itu di mana-mana PPV Mega di negeri ini.

SULAIMAN.

“Mereka yang belum menerima tarikh temu janji disaran menerima vaksin secara ‘walk in’ dan perlu mendaftar di dalam aplikasi MySejahtera.

“Bagaimanapun, mereka yang belum mendaftar untuk vaksinasi atau yang tidak mempunyai telefon pintar juga dibolehkan untuk ‘walk in’ untuk didaftarkan di PPV.

“Setiap individu perlu membawa kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri, telefon pintar yang berdaftar dengan MySejahtera serta dokumen berkaitan penyakit kronik jika ada sebelum ke PPV untuk menerima suntikan yang hanya ditawarkan dari jam 8.30 pagi hingga jam 4 petang,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Sulaiman berkata, langkah diambil kerajaan negeri itu bagi memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini mampu mencapai imuniti kelompok dengan lebih berkesan.

“Sehingga kini, seramai 69,972 orang daripada 677,400 populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas di Melaka masih belum menerima vaksin COVID-19.

“Dengan kemudahan terbaharu ini, kerajaan negeri berharap Melaka dapat mencapai liputan 100 peratus golongan dewasa menerima vaksin, seterusnya dapat beralih kepada fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan lebih awal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

640
Kongsi :
Previous post Polis cari lelaki 36 tahun bantu siasatan kes jenayah
Next post Bukan ‘siren’ tapi ribut
Ubah saiz-+=