Inovasi ‘Wau RFID Keychain’ harumkan nama Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

MASJID TANAH 24 November – Kemahuan untuk membantu meningkatkan lagi ciri keselamatan pelajar tinggal di asrama menjadi pencetus idea buat tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba untuk menghasilkan produk inovasi ‘Wau RFID Keychain’.

Lebih membanggakan produk dihasilkan kumpulan Techno Geeks itu menewaskan 24 inovasi sekolah lain seluruh negara dan diumumkan sebagai juara pada Program ‘TM Future Skills Tech Titans Challenge 2023’ diadakan di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, baru-baru ini, sekali gus mengharumkan nama Negeri Melaka.

Guru Pengiring SMK Ghafar Baba, Suhanna Zainuddin berkata, produk dihasilkan pelajar tingkatan tiga itu diinspirasikan daripada permainan wau dan mengenengahkan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Produk ini bakal memberikan nafas baharu dalam sistem pengurusan asrama sekolah dan pada masa yang sama memperkasakan keselamatan pelajar dengan memanfaatkan teknologi digital.

“Contoh, ketika ini pelajar asrama mahu keluar atau masuk daripada kawasan sekolah (outing) perlu mengisi buku pendaftaran yang disediakan.

“Menggunakan inovasi ini pelajar cuma perlu menyentuh Wau RFID Keychain (rantai kunci) pada peranti disediakan. Dalam kata muda cuma ‘tap and go’ sebelum dan selepas keluar daripada kawasan sekolah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Suhanna berkata, produk itu juga menyimpan rekod keluar masuk pelajar selain dilengkapi sistem perkhidmatan perbankan.

Katanya, produk berkenaan yang turut dilengkapi Sistem Pengesanan Global (GPS) meningkatkan lagi tahap keselamatan kerana kemampuannya untuk mengesan lokasi dan kedudukan semasa pelajar.

Menurutnya kumpulan pada program berkenaan Techno Geeks dianggotai Muhammad Ridhanni Aidid Rudyharrif, Lee Wei He dan R Siddharrthen menjuarai kategori Idea Inovasi Terbaik membawa pulang wang tunai RM5,000 dan pakej lawatan ke industri teknologi.

Program ‘TM Future Skills Tech Titans Challenge 2023’ anjuran Yayasan TM dan Creative Minds telah diadakan selama tiga hari dengan disertai 25 buah sekolah terpilih seluruh negara.

“Mungkin dengan adanya produk seperti ini dapat mengurangkan risiko pelajar menjadi mangsa jenayah seperti penculikan.

“Diharapkan inovasi ini dapat membantu meringankan beban warden dan secara langsung mengikuti perkembangan teknologi terkini

“Kami juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Yayasan TM, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Alor Gajah dan Pengetua SMK Ghafar Baba, Sahreah Md Zin atas sokongan yang diberikan kepada kami,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2215
Kongsi :
Previous post Hasilkan kandungan ‘POV’ promosi Melaka – KM
Next post Empat beradik ditinggalkan di pondok pengawal, polis mohon maklumat orang awam
Ubah saiz-+=