Insiden LRT: Penumpang diminta tampil untuk selaras bantuan- Prasarana

0
238
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR 29 Mei – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) meminta penumpang terlibat dalam insiden kemalangan tren perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Isnin lalu supaya menghubungi pihaknya jika masih belum berbuat demikian, untuk menyelaras bantuan kepada mangsa.

Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata sehingga 8 pagi tadi, masih ada 83 penumpang yang tidak berjaya dikesan, dan mereka diminta menghubungi saluran khas 014-7371330 atau e-mel [email protected] bagi tujuan berkenaan.

“Prasarana akan memberikan sumbangan ihsan atau ‘goodwill payment’ kepada penumpang yang terlibat dalam insiden itu. Jumlah bayaran dan hak penerimaan akan ditentukan sebaik butiran penumpang dapat dilengkapi,” menurut kenyataan itu.

Menurut Prasarana daripada 130 penumpang yang telah berjaya dikesan, 12 merupakan warga asing dari negara Indonesia, Filipina, Iran, Bangladesh serta Timur Tengah, dan pihak kedutaan negara-negara berkenaan telah pun dihubungi

Sementara itu daripada 67 individu yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, 62 telah dibenarkan keluar, lima masih di hospital dengan dua daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta tiga ditempatkan di wad biasa, dan dijangka dibenarkan discaj dalam tempoh dua hingga tujuh hari.

“Saya juga memohon maaf atas sebarang kekhilafan dan kepincangan kami dalam menangani insiden ini. Fokus utama Prasarana pada waktu ini adalah untuk memberikan sokongan dan bantuan yang sewajarnya kepada para penumpang terbabit serta keluarga mereka,” menurut Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datin Norlia Noah.

Prasarana juga memberi jaminan akan memberi kerjasama penuh dan telus kepada Jawatankuasa Siasatan oleh Kementerian Pengangkutan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di samping berhubung rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Dalam kejadian 8.33 malam itu, sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Dalam kenyataan terbaharu, Prasarana memaklumkan pihaknya menawarkan khidmat kaunseling untuk membantu mangsa insiden kemalangan itu yang mengalami trauma.

Menurutnya Prasarana telah bekerjasama dengan Lembaga Kaunselor Malaysia bagi membantu mangsa yang memerlukan khidmat kaunseling.

“Para penumpang yang memerlukan perkhidmatan kaunseling kerana trauma atau tekanan perasaan boleh menghubungi kami,” menurut kenyataan itu.

Penumpang yang ingin mendapatkan perkhidmatan berkenaan boleh menghubungi 014-7371330 atau emel [email protected] bagi mendapatkan janji temu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.