Isu kekurangan telur di pasaran pulih hujung bulan ini

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 21 Oktober- Isu kekurangan bekalan telur di beberapa negeri termasuk Melaka dijangka akan pulih sepenuhnya akhir bulan ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri (TKSU PPDN) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNHEP) , Datuk Roziah Abudin berkata jaminan itu diberikan selepas kerajaan menyalurkan bantuan modal kepada pihak industri bagi meningkatkan pengeluaran bekalan.

Katanya, pihak KPDNHEP juga akan memantau dan melaksanakan konsultasi penggunaan telur di pelbagai peringkat terutamanya peringkat industri melibatkan peniaga dalam tempoh memulihkan pengeluaran telur di pasaran.

“Kita akan pastikan bekalan telur tidak terputus. Dan kita juga telah mengenalpasti terdapat syarikat pengeluar yang boleh menampung kekurangan di pasaran dengan meningkatkan pengeluaran.

“Menerusi sesi konsultasi yang dilakukan KPDNHEP, pengeluar-pengeluar yang dikenal pasti telah menunjukkan komitmen untuk ‘ramp up’ pengeluaran telur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ngwe Hee Sem dan Pengarah KPDNHEP Negeri, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Roziah berkata terdapat 21 kilang pengeluar telur diarah tutup di seluruh negara ekoran operasi yang tidak efisien.

Ujarnya, kilang-kilang terbabit diarah tutup kerana kurang pengeluaran, dan kekurangan itu terpaksa ditampung oleh syarikat-syarikat pengeluar lain.

“Antara isu lain pengurangan telur di pasaran adalah sejak pembukaan ekonomi sepenuhnya selepas pandemik COVID-19, pelbagai industri, perniagaan dan restoran dibuka menyebabkan permintaan telur yang tinggi.

“Sepatutnya bekalan tidak terganggu dengan pemberian subsidi dan pihak KPDNHEP akan terus memantau harga jualan telur di pasaran memandangkan kerajaan mengawal harga telur,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1792
Kongsi :
Previous post Tukang gunting rambut didakwa bunuh teman wanita
Next post Jabatan Penjara benarkan lawatan keluarga sempena Deepavali
Ubah saiz-+=