Jabatan Mufti larang agihan daging korban di masjid dan rumah penyembelihan

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BUKIT KATIL 18 Julai – Jabatan Mufti Melaka melarang ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan petugas penyembelihan haiwan korban mengagihkan daging di masjid atau rumah penyembelihan, sebaliknya mereka harus menghantarnya ke rumah penerima.

Sehubungan itu, mereka yang layak menerima daging korban tidak boleh hadir di masjid atau rumah penyembelihan semata-mata untuk mengambil daging korban.

Peraturan yang wajib dipatuhi itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) jabatan itu bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Pengagihan kupon kepada penerima daging korban seperti yang dipraktikkan sebelum ini dimansuhkan, sebaliknya AJK masjid dan petugas di rumah penyembelihan harus memikul tanggungjawab mengagihkan daging secara terus ke rumah penerima, terutama fakir miskin.

Dalam kenyataannya di sini hari ini, jabatan itu berkata, aktiviti menyembelih, melapah dan memotong daging serta tulang haiwan harus mengutamakan aspek penjarakan sosial dan mengelak daripada dilakukan di lokasi sempit.

“Penganjur harus memastikan bilangan petugas sesuai dengan haiwan korban bagi memelihara kebajikan haiwan ketika dikorbankan dan penyembelihan serta agihan daging harus mematuhi panduan syarak dan matlamat korban,” katanya.

Jabatan itu berkata, penyembelihan haiwan korban sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) boleh dibuat di masjid dan surau serta kawasan persendirian dengan syarat mematuhi SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia juga harus memperoleh kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), selain sudah dimaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Selain itu, penyembelihan juga boleh dilakukan di Rumah Sembelihan (Abatoir) DVS Jasin dan Kompleks Abatoir Alor Gajah, katanya.

Penyembelihan juga dibenarkan dibuat di Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan DVS di Bukit Tembakau, Umbai dan Sungai Putat, Batu Berendam, di sini.

Bilangan petugas yang dibenarkan hadir ketika penyembelihan lembu dan kerbau hanyalah 10 orang manakala untuk kambing hanya empat orang bagi memastikan jarak sosial sentiasa dipatuhi, selain mengelakkan kehadiran terlalu ramai orang di tempat penyembelihan.

Petugas harus dipastikan sihat, tiada gejala wabak Covid-19, bukan penghidap penyakit kronik, bukan kanak-kanak bawah 12 tahun dan bukan orang sedang dalam siasatan (PUI) serta bukan orang sedang dalam pengawasan (PUS) berkaitan wabak berkenaan.

Ketua Pengarah DVS, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dilaporkan menegaskan penyembelihan wajib mendapat permit menyembelih jabatan berkenaan yang mensyaratkan setiap haiwan ternakan yang ingin disembelih perlu mendapat Sijil Kesihatan Veterinar (SKV).
DVS mempunyai 28 Rumah Sembelihan di seluruh negara, selain puluhan lagi Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh jabatan.

Views:

574
Kongsi :
Previous post Mohamed Azmin tiba untuk lawatan kerja sehari di Melaka
Next post Tokyo sahkan venue dan jadual pertandingan Olimpik 2020
Ubah saiz-+=