JAIM anjur Sayembara Pantun Berunsur Islam sempena kemerdekaan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT PALAH 19 Ogos – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menganjurkan Sayembara Pantun berunsur Islam sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pertandingan anjuran dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) itu diadakan secara dalam talian seiring dengan situasi pandemik COVID-19 masa kini.

Katanya, dengan tema berunsur kemerdekaan, tamadun Islam dan peradaban dunia, penyertaan bagi pertandingan itu akan mula dibuka bermula hari ini (20 Ogos) sehingga 27 Ogos.

“Peserta dikehendaki merakam video melafaz pantun empat kerat sebanyak empat rangkap dalam tempoh masa tidak lebih lima minit.

“Setiap peserta hendaklah mendaftar penyertaan dan menghantar teks pantun berserta video kepada urusetia menerusi Google Form pada pautan yang disediakan di Facebook JAIM atau mengimbas kod QR pada poster,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu kategori pelajar sekolah menengah, institusi pendidikan dan terbuka.

Tambahnya, selepas tarikh tutup, seramai 15 peserta terpilih akan dihubungi urusetia dan video mereka akan dimuat naik di ruangan komen Facebook JAIM.

Katanya lagi, empat peserta yang mendapat jumlah tanda suka (likes), komen dan perkongsian tertinggi layak ke peringkat akhir berbalas pantun secara spontan pada 11 September depan yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook JAIM.

“Untuk acara membaca pantun, johan bagi setiap kategori akan membawa pulang hadiah RM300.

“Bagi acara berbalas pantun secara spontan pula johan akan menerima RM600 bagi kategori institusi pendidikan dan terbuka, serta RM500 bagi kategori pelajat sekolah menengah.

“Turut disediakan hadiah bagi sekolah yang mempunyai penyertaan pelajar teramai dan peserta popular yang memperoleh tanda suka, komen dan perkongsian terbanyak di Facebook,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1716
Kongsi :
Previous post 76 kes positif di kilang biskut Kawasan Perindustrian Alor Gajah, Kelemak
Next post Operasi kilang diarah tutup jika 5 % pekerja disahkan positif
Ubah saiz-+=