JAIM benarkan jemaah usia lebih 70 tahun

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

BANDARAYA MELAKA 17 Jun – Anak kariah berusia lebih 70 tahun yang sebelum ini tidak dibenarkan menjadi jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid dan surau, mulai hari ini dibenarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk berbuat demikian.

Had umur minimum mereka yang tidak dibenarkan hadir di masjid dan surau diturunkan kepada 12 tahun berbanding 15 tahun sebelum ini.

Selain itu, jemaah yang solat atas kerusi sudah dibenarkan hadir di masjid dan surau dengan syarat mereka benar-benar sihat tanpa sebarang gejala berkaitan pandemik Covid-19 seperti demam, selesema, sesak nafas dan batuk.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, kelonggaran itu sejajar kenyataan Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali dan Pekeliling Jabatan Mufti Negeri Melaka pada 11 Jun lalu yang membenarkan jemaah solat Jumaat ditambah berbanding 40 sebelum ini, mulai 12 Jun lalu.

“Mereka yang demam, selesema, sesak nafas dan batuk serta menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, barah, buah pinggang, lelah dan seumpamanya tidak dibenarkan hadir.

“Jemaah hendaklah sentiasa memakai penutup mulut dan hidung, berwuduk di rumah, membawa dan menggunakan sejadah sendiri kerana perkongsian sejadah tidak digalakkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, jemaah wajib mendaftarkan nama selepas pegawai masjid mengambil suhu badan mereka, selain tidak melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan sebelum dan selepas solat.

“Pihak pentadbir boleh menggunakan apa-apa kaedah untuk memastikan jemaah tidak melebihi kapasiti yang dibenarkan, sama ada dengan menggunakan kaedah pemilihan awal atau secara ‘walk-in’ sehingga jumlah jemaah mencukupi kapasiti masjid atau surau,” katanya.

Views:

337
Kongsi :
Previous post PKP beri ilham pelajar KPMBM jana pendapatan
Next post MARA’S records 6.0 pct revenue growth in 2019
Ubah saiz-+=