JAIM siasat dakwaan aktiviti pemujaan di Pulau Besar

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

PULAU BESAR 30 Jan – Kerajaan negeri menyiasat kesahihan dakwaan video tular mengenai kegiatan ritual atau pemujaan ajaran sesat ‘Islam Melayu’ di Pulau Besar sejak kelmarin.

Video berdurasi lapan minit lima saat itu tular di media sosial Facebook, memaparkan mengenai kegiatan ajaran sesat dan aktiviti ritual yang didakwa berlaku di pulau berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Azahan Md Samat berkata, ajaran sesat berkenaan dalam perhatian pihaknya dan JAIM sedang bekerjasama dengan jabatan agama di negeri lain untuk membantu siasatan sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Katanya, beliau difahamkan kumpulan terbabit aktif di luar Melaka dan hanya sesekali datang ke Pulau Besar untuk melakukan upacara tertentu.

“Pemantauan berkala yang kami lakukan di Pulau Besar tidak pernah berjumpa dengan kumpulan ini dan mereka dipercayai datang ke Pulau Besar sekali sekala.

“Namun JAIM akan terus melakukan pemantauan dan sekiranya orang awam terserempak dengan aktiviti kumpulan tersebut, mereka dinasihatkan agar melaporkan segera kepada JAIM,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Penasihat Agama kepada Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek berkata, pihaknya tidak menyangka dakwaan ajaran berkenaan aktif semula dengan mengaitkan pulau itu sebagai lokasi acara ritual oleh kumpulan ajaran sesat berkenaan.

Menurutnya, JAIM sentiasa membuat pemantauan di pulau berkenaan bagi mencegah perkara khurafat, manakala Jabatan Mufti juga sedang menyiasat kebenaran video tular tersebut.

“Sekiranya video yang ditularkan itu bertujuan untuk memperingati keburukan mengamalkan ajaran sesat itu, ia sewajarnya disokong, namun apabila ia turut mengaitkan Pulau Besar maka kita perlu memandang serius perkara ini.

“Kita juga juga menyokong dan memandang positif nasihat diberikan oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan agar orang ramai tidak terpengaruh ajaran mengaitkan kelahiran agama baharu dikenali ‘Agama Melayu’ itu,” katanya.

Views:

1305
Kongsi :
Previous post Singapura gantung peraturan RGL dengan Malaysia selama tiga bulan
Next post COVID: Malaysia catat kes harian tertinggi dua hari berturut-turut
Ubah saiz-+=