JAKIM akur, tidak campur tangan bidang kuasa agama kerajaan negeri- Menteri Agama

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DUYONG 16 Sept – Segala prosedur operasi standard (SOP) baharu berkaitan solat jemaah di masjid dan surau termasuk pertambahan bilangan jemaah tertakluk kepada kuasa kerajaan negeri dan bukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, JAKIM hanya berperanan sebagai penyelaras dan menyediakan draf ketetapan SOP sebagai panduan kepada seluruh negara.

Namun, ujarnya segala hal berkait soal agama jatuh kepada bidang kuasa negeri yang mana pihaknya perlu menghormati keputusan setiap negeri.

 

IDRIS dalam sidang media di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong.

“Sebab itu silaplah bila kadang-kadang netizen marah apabila masjid tidak boleh ramai datang, sedangkan ini bukan tugas kita dan kita tidak boleh campur urusan agama di negeri-negeri.

“Dia (masjid) berbeza, tidak seperti mana kilang atau pusat beli belah yang cukup sekadar (mendapat kelulusan) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kita (masjid) walaupun KKM kata ok, MKN kata ok, kita ada satu lagi yang mesti hormat iaitu bidang kuasa kerajaan negeri, jangan kita langgar hak orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Gimik Penyerahan Program Foodbank YaPEIM dan Kotak Makanan YADIM di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong, di sini hari ini.

Hadir sama, Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Penasihat Agama Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek.

Mengulas lanjut, Idris berkata, draf ketetapan SOP baharu yang disediakan JAKIM telah pun dibincangkan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dihadiri mufti-mufti seluruh negara, semalam.

Justeru katanya, selepas ini mufti-mufti akan berjumpa dengan pihak berkuasa agama negeri sebelum SOP baharu di masjid dan surau akan diumumkan bagi negeri masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

688
Kongsi :
Previous post Rakyat diseru perkukuh azam, membugar semangat perpaduan sebagai satu keluarga
Next post Yong Tai – rakan kongsi baharu China bangunkan semula ‘Impression City’ di Melaka
Ubah saiz-+=