Jalan ke Jeti Nelayan Tebing Urut berwajah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER LIMAU 27 Disember – Laluan utama ke Jeti Pengkalan Nelayan Tebing Urut bakal berwajah baharu dan boleh digunakan mulai tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jalan yang diturap sepanjang hampir tiga kilometer akan membantu golongan nelayan di kawasan itu bagi mendapatkan akses mudah berbanding terpaksa meredah jalan tanah merah sebelum ini.

Beliau berkata, usaha bagi memastikan jalan yang lebih kondusif telah mendapat kerjasama daripada pelbagai agensi Kerajaan Negeri termasuk pemilik tanah.

“Sebelum ini ia tertangguh sebab ada isu untuk mendapatkan kebenaran kerana laluan itu terpaksa menggunakan laluan diatas tanah persendirian dan kini telah diselesaikan atas kerjasama pemiliknya.

“Projek yang dijalankan ini juga mengambil lebih kurang tiga kilometer termasuk menggunakan laluan baharu dilengkapi dengan jalan berturap dilaksanakan Kumpulan Melaka Berhad (KMB), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan Pejabat Pemantuan dan Perlaksanaan Negeri (MIMO) menelan peruntukan melebihi RM600,000.

“Alhamdulillah keseluruhan projek yang dijalankan ini giat dibangunkan dan kita menjangkakan ia boleh digunakan mulai awal tahun 2023,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Hameed berkata, pihaknya kini juga memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur di empat jeti nelayan yang berada di kawasan itu.

Jelasnya, antara yang diberi perhatian sepanjang 2023 ialah kerja-kerja menurap jalan dan menyediakan pelantar jeti yang lebih kondusif di Jeti Nelayan Ramuan China Kechil, selain menaik taraf Jeti Nelayan Kampung Teluk Berembang.

“Setakat tahun ini (2022), kerja-kerja mendalamkan dan membersihkan dasar sungai dari tumbuhan yang mengganggu pergerakan bot telah dilaksanakan di Jeti Nelayan Paya Lebar yang menelan peruntukan sebanyak RM100,000.

“Bagi Jeti di Ramuan China Kechil dan Telok Berembang projek menaik taraf ini dijadualkan akan dilaksanakan pada Januari 2023 berikutan setakat ini ia masih di dalam kajian dijalankan pihak terlibat termasuk menilai bajet yang diperuntukkan untuk membangunkan projek ini.

“Kita berharap dengan pembangunan infrastruktur yang diberikan kepada golongan nelayan ini dapat membantu mereka memudahkan perjalanan mereka untuk mencari rezeki yang menjadi sumber ekonomi utama rata-rata masyarakat di kawasan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4391
Kongsi :
Previous post Dahulu pensyarah, kini pengetua akademi al-Quran
Next post Monsun Timur Laut kali ini dijangka lebih serius
Ubah saiz-+=