Jalan perlu ditutup jika alih struktur berat

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 22 Mac. – Jalan atau laluan kenderaan perlu ditutup, jika sesuatu struktur berat perlu dialihkan dalam melaksanakan projek pembinaan jalan raya atau lebuh raya, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, perkara itu adalah antara prosedur operasi standard (SOP) ketat yang perlu diikuti oleh kontraktor, bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam.

“Dalam pelaksanaan projek, jika misalnya nak alihkan ‘gantry launcher’, jalan perlu ditutup, jika jalan dah selamat, struktur itu pun selamat (dialih), maka barulah buka semula laluan tersebut,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Projek-Projek di bawah pelaksanaan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Malaysia, di sini hari ini.

FADILLAH…jalan atau laluan kenderaan perlu ditutup, jika sesuatu struktur berat perlu dialihkan dalam melaksanakan projek pembinaan jalan raya atau lebuh raya. Foto kredit-sarawakvoice

Beliau mengulas kemalangan yang berlaku di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Alam Damai pagi tadi, yang menyebabkan tiga pekerja maut.

Melalui siasatan awal, ia berpunca apabila satu daripada komponen kren gantri terjatuh dan menghempap sebuah kenderaan.

Fadillah berkata ketika ini pelbagai agensi termasuklah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Pasukan Bomba dan Penyelamat akan menilai cadangan keselamatan terbaharu sebelum membenarkan kerja-kerja pembinaan di lokasi berkenaan diteruskan.

“Saya sudah mengarahkan bahagian keselamatan daripada pihak pemaju dan kontraktor untuk memberi tindakan dari sudut keselamatan dan ia akan dinilai oleh agensi-agensi bertanggungjawab,” katanya.

“Siasatan awal mendapati kontraktor projek pembinaan Lebuh Raya SUKE di kawasan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya.

Hari ini, tiga individu maut dalam kejadian struktur besi kren launcher terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat SUKE berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras, pagi tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post MAQIS Selangor rampas 25 tan buah kurma dari Arab Saudi
Next post RMK-12: Kerajaan Persekutuan jamin layanan adil untuk bangunkan Sabah
Ubah saiz-+=