Jalan pintas Ayer Limau – Kampung Jeram atasi kesesakan, singkatkan perjalanan

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

AYER LIMAU 9 Mac – Pembinaan jalan baharu menghubungkan persimpangan Kampung Jeram, Masjid Tanah dan Kampung Seberang Perai, Ayer Limau mampu menyingkatkan perjalanan dan mengatasi kesesakan lalu lintas.

Projek sedang dalam pembinaan itu bakal membawa perubahan baharu buat kawasan berkenaan kerana meningkatkan kecekapan jalan raya, sekali gus menyokong industri pelancongan dan sosioekonomi penduduk sekitar.

Penduduk, Mohd Faizal Othman, 40, berkata, jalan baharu itu memendekkan tempoh perjalanan dari kawasan perkampungan di mukim sekitar Masjid Tanah untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menerusi Plaza Tol Simpang Ampat.

“Berbanding sebelum ini kita perlu mengambil sekurang-kurangnya 30 minit untuk ke Tol Simpang Ampat.

“Perkara utamanya adalah jalan ini mampu membuka jaringan baharu pelancongan yang terletak di kawasan luar bandar seperti sekitar Kuala Sungai Baru,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2023-03-08 at 6.26.21 PM
TAPAK projek yang terletak di persimpangan Kampung Jeram giat dibina setelah kerja-kerja pengambilan tanah selesai dijalankan.

Sementara itu peniaga di Kampung Jeram, Russiah Yusof, 58, bersetuju pembinaan itu dilaksanakan bagi membantu menyuraikan kesesakan trafik di kawasan Paya Rumput-Ramuan China kerap berlaku pada waktu puncak.

Dia yang merupakan satu-satunya peniaga bersebelahan persimpangan yang sedang dibina itu berharap akan mendapat tempias daripada projek dilaksanakan kerajaan.

“Laluan ini selalu sesak pada waktu puncak, kalau pada hari raya dan cuti umum kesesakan luar biasa, biarpun di kawasan kampung.

“Insya-Allah kita lihat projek ini giat dijalankan sejak tahun lalu dan berharap mampu membawa limpahan ekonomi buat perniagaan dan penduduk di kawasan ini,” katanya.

WhatsApp Image 2023-03-08 at 6.31.46 PM
KEADAAN jalan di Kampung Seberang Perai yang bakal menjadi satu simpang baharu menghubungkan antara kampung itu dengan Kampung Jeram.

Sementara itu, tinjauan turut dijalankan di lokasi berikutnya di Kampung Seberang Perai, mendapati kerja-kerja pembinaan giat dijalankan.

Seorang penduduk, Akil Abu, 33, ketika ditemui berkata, projek terbabit setakat ini berjalan seperti biasa dan teratur malah tidak mengganggu penduduk sekitar.

“Saya percaya projek ini mampu disiapkan mengikut jadual ditetapkan. Berdasarkan pemerhatian kontraktor menjalankan kerja-kerja membersihkan tapak dan menambak lokasi berkenaan,” katanya.

Sebelum ini MHI melaporkan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) meluluskan cadangan pembinaan jalan baharu tersebut akan dibina sepanjang hampir tiga kilometer pada dua tahun lalu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM36 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5552
Kongsi :
Previous post Festival kraf bantu usahawan perkenalkan produk
Next post Buaya viral ‘senyap’ tak masuk jerat
Ubah saiz-+=