Jalan sempit Pantai Siring akan dinaik taraf – MPJ

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERKAM 14 Jan – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) akan menaiktaraf infrastruktur dan membina jalan baharu di sepanjang tujuh kilometer di Pantai Siring dalam masa terdekat.

Yang Dipertua MPJ Datin Sapiah Haron berkata, peruntukan dianggarkan sebanyak RM3 juta akan digunakan untuk pembinaan jalan dua hala baharu di kawasan itu.

Katanya, penambahbaikan itu bertujuan memberi keselesaan kepada pengunjung dan masyarakat setempat memandangkan kawasan tersebut merupakan lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negeri.

“Kalau kita tengok di sini jalan sangat sempit untuk keluar masuk ke Pantai Siring, jadi MPJ akan buat jalan baharu sepanjang tujuh kilometer.

“Selain itu, infrastruktur di pantai ini kita akan tambah baik dengan membesarkan longkang dan sebagainya.

“Buat masa ini kita dalam proses pengambilan tanah untuk menaik taraf jalan baharu dan infrastruktur di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di Pantai Siring, petang tadi.

SAPIAH

Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata pihaknya turut merancang untuk membangunkan sebuah taman tema air di Pantai Siring dengan menghantar permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut masih diperingkat perbincangan dan sekiranya diluluskan, ia akan dibina secara berfasa.

“Untuk pembinaan taman tema air itu dianggarkan peruntukkan sebanyak RM27 juta untuk pembinaan termasuk kos tambak dan pengambilan tanah di kawasan rekreasi dan riadah Pantai Siring ini.

“Kita sudah mohon pada MOTAC memandangkan pantai ini tidak mempunyai pesisir pantai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3046
Kongsi :
Previous post KPM komited pastikan persekolahan secara bersemuka sepanjang 2022
Next post MUFC sedia beri cabaran hebat musim 2022
Ubah saiz-+=