Jaminan peluang pekerjaan, keusahawanan belia jadi misi MGBM tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 25 Jun – Jaminan pekerjaan dalam kalangan belia merupakan antara misi utama Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) tahun ini bagi membantu golongan terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden MGBM, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, perkara itu akan digerakkan dengan pelbagai pendedahan dan peluang pekerjaan menerusi program yang bakal dijalankan.

Jelasnya, MGBM akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Melaka bagi memperkasakan misi berkenaan sepanjang tahun ini.

“Saya percaya sokongan kerajaan negeri bersama MGBM akan membangunkan lagi hasrat ini bagi membantu golongan belia yang kebanyakkannya kehilangan pekerjaan akibat pandemik yang melanda.

“Ia akan dilaksanakan dengan pelbagai pendekatan sepertui ‘Melaka Employment Hub’ serta pelbagai lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Kebesaran MGBM Kali Ke-42 di Dewan Seri Utama Pejabat Yang di-Pertua Negeri, di sini hari ini, yang turut dihadiri EXCO Pembangunan Belia dan Sukan, VP Shanmugam.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain memfokuskan peluang pekerjaan, pihaknya turut akan bekerjasama memajukan sektor keusawahanan dalam kalangan belia di negeri ini.

“Kita sedang merangka perkara ini dalam sektor keusawahanan di mana kita berharap akan ada agensi yang akan bekerjasama bersama kami untuk menawarkan geran buat golongan usahawan belia terlibat,” katanya.

Terdahulu, majlis penganugerahan itu menyaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menjadi penerima tunggal dianugerahkan Bintang Khidmat Cemerlang (B.K.C.) disampaikan Yang di Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Selain itu, seramai 73 individu turut menerima Pingat Bakti Belia (P.B.B) yang disampaikan Tun Mohd Ali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

959
Kongsi :
Previous post Buka sekolah baharu di kawasan berkepadatan tinggi
Next post DUN Belia Melaka dijangka bersidang November depan
Ubah saiz-+=