‘Jammed Squad’ suraikan kesesakan lalu lintas

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

DUYONG 24 April – Pasukan khas iaitu ‘Jammed Squad’ ditubuhkan polis kontinjen Melaka sempena Op Selamat 18 bagi memastikan kelancaran lalu lintas di negeri ini sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, skuad itu terdiri daripada 20 anggota termasuk pegawai yang akan menyuraikan setiap kesesakan lalu lintas yang berlaku.

Beliau berkata, selain kesesakan di jalan utama, skuad ini juga akan tertumpu menyuraikan lalu lintas di lokasi tumpuan di sekitar Bandaraya Melaka.

“Skuad ini dibahagikan kepada empat pasukan dan setiap satunya akan turut disertai seorang pegawai. Mereka akan bergegas ke lokasi sejurus menerima atau mendapat maklumat berlakunya kesesakan.

“Kalau berlaku kesesakan skuad ini akan suraikan trafik ia bagi memberi keselesaan kepada pengguna supaya dapat beraya dengan baik tanpa tersangkut di mana-mana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jelajah Op Selamat 18 PDRM bersama Petronas, di Semabok.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan 100, 000 hingga 120,000 kenderaan akan masuk ke Melaka melalui tiga pintu masuk iaitu Plaza Tol Simpang Ampat, Alor Gajah; Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka Tengah dan Plaza Tol Lipat Kajang, Jasin.

“Ini hanya anggaran jumlah yang akan masuk namun jumlahnya akan diketahui dengan melihat berapa jumlah yang melalui tiga plaza tol ini sehingga 8 Mei nanti

“Untuk sekatan jalan raya (SJR) kita tidak akan lakukan kerana akan menyebabkan kesesakan tetapi kalau ada kes jenayah kita terpaksa buat untuk selesaikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1301
Kongsi :
Previous post Melaka salur lebih RM15 juta sumbangan Aidilfitri
Next post Kemalangan maut di Melaka meningkat 50 peratus
Ubah saiz-+=