Jangan bimbang, tiada catuan air di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Mac – Rakyat di Negeri Melaka tidak perlu bimbang mengenai masalah bekalan air meskipun berdepan keadaan cuaca panas melampau yang dijangka berlarutan sehingga April.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, walaupun daerah Alor Gajah kini dikategorikan sebagai kawasan berjaga-jaga dengan suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah celcius, namun ia belum memberi kesan kepada paras air di tiga empangan utama negeri ini.

Jelasnya, berdasarkan bacaan semasa, paras air di empangan Negeri Melaka masih berada di tahap normal dengan Empangan Durian Tunggal merekodkan bacaan lebih 80 peratus, sementara Empangan Jus dan Empangan Asahan masing-masing di paras melebihi 90 peratus.

“Jadi, saya menyeru kepada rakyat Melaka agar jangan risau atau khuatir kerana insya-Allah di Melaka kita tidak akan ada masalah bekalan air atau membuat catuan dalam masa terdekat.

“Ini kerana sekiranya berlaku kemarau berpanjangan sekalipun, bekalan air di negeri ini masih mampu bertahan sehingga Ogos.

“Jadi, teruskan ibadah puasa seperti biasa dan sebarang perkembangan terkini akan saya kemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Peringkat DUN Tanjung Bidara dan Parlimen Masjid Tanah di Masjid Nur Jannatul Bahri, Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, semalam.

Majlis tersebut telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Ketua Menteri Ke-12 merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Rosli Abdullah serta ketua-ketua jabatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

292
Kongsi :
Previous post Tasik Ayer Keroh kering bukan kerana cuaca panas
Next post Anak muda sahut cabaran tunggang ‘Kriss’ ke Tanah Suci
Ubah saiz-+=