Anak muda sahut cabaran tunggang ‘Kriss’ ke Tanah Suci

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

SERI NEGERI 20 Mac – Walaupun rakan seangkatannya lebih gemar menikmati kehidupan selepas tamat zaman persekolahan, namun berbeza bagi Muhammad Aidil Nursulhi, 19.

Ini kerana anak jati Pulau Sebang Gadek itu, memilih untuk membuktikan sesuatu dalam hidup dengan melakukan pengembaraan ke Tanah Suci di usia muda.

Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, walaupun dianggap kerja ‘gila’ mengembara sejauh 15,000 kilometer dengan menunggang motosikal Modenas Kriss, namun baginya cabaran itu mempunyai makna yang lebih mendalam.

Ini kerana, menurutnya, kembara itu merupakan medan untuk mematangkan diri, dan pada masa sama membuktikan bahawa dia mampu berdiri di atas kaki sendiri.

“Sebelum ini, kembara paling jauh pernah saya lakukan dengan bermotosikal ialah ke Janda Baik, Pahang dan kali ini cabaran itu lebih besar kerana akan menempuh beberapa negara.

“Saya akui perjalanan ini akan lebih mencabar kerana ia berlaku ketika bulan Ramadan, namun saya percaya dengan tekad mahu beribadah di Tanah Suci saya akan berjaya dan semuanya akan dipermudahkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Seri Negeri, semalam.

Muhammad Aidil merupakan antara 20 peserta yang akan mengikuti Jelajah Silaturahim Malaysia Ke Mekah 2024 bermula 21 Mac.

Pelepasan peserta jelajah berkenaan telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut Muhammad Aidil, sebelum ini, dia pernah mengembara bersama bapanya, Nursulhi Rahim, 48, ke Sweden dengan menaiki Perodua Kelisa dan kisah mereka menjadi tular di media sosial.

Namun, berbezanya kali ini, dia akan menempuh perjalanan tanpa bapanya di sisi dan segala persiapan terpaksa dilakukan sendiri.

“Saya mengambil masa lebih sebulan untuk berfikir dan akhirnya membuat keputusan untuk mengikuti kembara ini dengan melakukan persiapan rapi.

“Ini termasuklah memastikan motosikal yang digunakan dalam keadaan baik dan bersedia untuk menempuh perjalanan jauh dan panjang yang dianggarkan mengambil masa kira-kira 100 hari.

“Insya-Allah berbekalkan semangat dan harapan bapa, saya mampu lakukan dan diharapkan orang ramai dapat mendoakan keselamatan saya dan peserta lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1902
Kongsi :
Previous post Jangan bimbang, tiada catuan air di Melaka
Next post Poster bantuan khas kewangan RM700 palsu – JPA
Ubah saiz-+=