Tasik Ayer Keroh kering bukan kerana cuaca panas

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

TANJUNG BIDARA 20 Mac – Foto tular menunjukkan kuantiti air di Tasik Ayer Keroh berkurangan dan kering bukan disebabkan cuaca panas melampau, jelas Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Menurut Hameed, keadaan itu berlaku disebabkan proses pengepaman air di Tasik Ayer Keroh ke Bunded Storage Empangan Durian Tunggal yang membekalkan air ke Loji Rawatan di Bertam bagi kegunaan Bandar Melaka.

Jelas beliau lagi, Tasik Ayer Keroh merupakan antara kolam tadahan alternatif bagi Empangan Durian Tunggal dan proses pengepaman itu biasa berlaku bagi mengawal paras air di empangan utama Negeri Melaka.

“Bagaimanapun, pengepaman itu sudah ditamatkan dan kini proses pengambilan air melibatkan Sungai Kesang pula. Jadi masalah tasik kering itu bukan disebabkan isu cuaca seperti yang diperkatakan.

“Lagipun, kita masih mempunyai banyak alternatif kolam tadahan lain, antaranya Tasik Biru yang masih belum digunakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Peringkat DUN Tanjung Bidara dan Parlimen Masjid Tanah di Masjid Nur Jannatul Bahri, Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, rakyat Melaka tidak perlu bimbang terhadap isu bekalan air di negeri ini kerana kesemua tiga empangan masih berada di paras normal iaitu melebihi 80 peratus.

Malah, ujar beliau, sekiranya berlaku kemarau berpanjangan, bekalan air di Melaka masih mampu bertahan sehingga Ogos depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4608
Kongsi :
Previous post ‘Ab Rauf selalu ingat rakyat’
Next post Jangan bimbang, tiada catuan air di Melaka
Ubah saiz-+=